Polis kenal pasti 25 kesan tetak pada mayat

Baharudin (tengah) menunjukkan parang yang dipercayai digunakan suspek membunuh mangsa. Turut ditunjukkan adalah pakaian yang digunakan suspek utama ketika kejadian.
Baharudin (tengah) menunjukkan parang yang dipercayai digunakan suspek membunuh mangsa. Turut ditunjukkan adalah pakaian yang digunakan suspek utama ketika kejadian.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis mengesahkan terdapat 25 kesan tetakan pada mayat seorang lelaki yang ditemui di kawasan lapang berhampiran sebuah kuil di Jalan Kampung Jawa semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, jumlah tetakan itu diperoleh hasil bedah siasat terhadap mangsa, Dharma Raj berusia 34 tahun di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Menurutnya, sekurang-kurangnya terdapat lapan kesan tetakan serius pada muka, badan dan kaki mangsa.

"Hasil maklumat awam dan risikan polis, dalam tempoh kurang 24 jam, polis menahan suspek utama pada 11.20 pagi tadi di hadapan rumahnya di Taman Sentosa, Klang.

"Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu," katanya hari ini.

Baharudin berkata, polis turut merampas sebilah parang kebun sepanjang 61 sentimeter dan motosikal jenis Honda EX5 yang digunakan suspek semasa kejadian.

"Parang panjang itu ditemui di dalam longkang pada jarak 30 meter dari rumah keluarga suspek.

"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk baru tiga bulan dibebaskan daripada penjara atas kesalahan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan turut mendapati mangsa dan suspek saling mengenali dan terbabit dalam kegiatan penagihan dadah," katanya.

Baharudin memberitahu, selain suspek turut ditahan bagi membantu siasatan adalah adiknya berikutan motosikalnya digunakan oleh suspek semasa kejadian.

"Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan pada jam 1.02 pagi tadi di rumah sama tempat suspek utama ditahan.

"Siasatan motif kejadian menjurus kepada semua faktor termasuklah dendam dan dadah.

"Polis juga tidak menolak kemungkinan ketika kejadian suspek berada di bawah pengaruh dadah," katanya.

Suspek berusia 33 tahun direman lima hari sementara suspek utama akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah reman. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, seorang lelaki ditemui mati dengan kesan ditetak berhampiran di Kuil Sri Maha Kaliamman Madurai Veeran. Video rakaman kamera litar tertutup dari kuil berkenaan yang memaparkan mangsa dikejar suspek dengan parang juga tular di media sosial.