KPDNHEP arah edar barangan keperluan serta-merta

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

PUTRAJAYA- Sebanyak 115 syarikat pengangkutan bagi Program Pengedaran Barangan Keperluan Asas, LPG dan Community Drumming diarah melaksanakan perkhidmatan mereka serta-merta mulai Rabu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, arahan itu bagi memberi jaminan bekalan barangan keperluan akan dapat terus dibekalkan kepada penduduk di kawasan pedalaman.

"Bagi mengelakkan bekalan daripada terputus sementara menunggu pelantikan syarikat pengangkutan baharu, kementerian bersetuju untuk melanjutkan kontrak syarikat transporters sedia ada sehingga 30 April 2021," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pelantikan syarikat bagi tahun ini akan dilaksanakan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

"SOP tersebut menggariskan tatacara perolehan yang mengambil prinsip tender terbuka di mana iklan tawaran akan dikeluarkan bagi mempelawa syarikat-syarikat berkelayakan memohon," katanya.

Beliau berkata, proses lantikan dijangka selesai pada April depan.

"Dengan perlanjutan kontrak syarikat sedia ada ini, kementerian berharap ia dapat meringankan beban penduduk-penduduk di kawasan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak dalam mengharungi waktu yang sukar ini," katanya.

Alexander berkata, kerajaan telah meluluskan program tersebut dengan peruntukan berjumlah RM200 juta iaitu pertambahan sebanyak RM50 juta atau kenaikan sebanyak 33 peratus berbanding RM150 juta pada tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

"Pertambahan peruntukan ini membolehkan kementerian memperluas pelaksanaan ke kawasan-kawasan baharu yang memerlukan," katanya.

Tambahnya, sebanyak 137 kawasan pengedaran baharu telah dikenal pasti di seluruh negara.

"Ia termasuk di Terengganu dan Pahang terutamanya ke pulau-pulau seperti Pulau Tioman, Pulau Perhentian dan Pulau Redang.

"Beberapa kawasan baharu di Sabah dan Sarawak juga telah dikenal pasti bagi pelaksanaan program ini," katanya.

Program Pengedaran Barangan Keperluan Asas, LPG dan Community Drumming bermula pada tahun 2009.

Ia telah berjaya membantu masyarakat luar bandar menikmati tujuh barangan asas iaitu beras, gula, tepung, minyak masak, gas LPG, petrol RON95 dan diesel pada harga yang dikawal.

Perkhidmatan pengedaran barang keperluan asas dilaksanakan oleh syarikat pengangkutan yang dilantik.

Syarikat tersebut membeli bekalan barang keperluan asas daripada pembekal di bandar, menghantar dan menjual bekalan kepada Point of Sales (POS) di kawasan pengedaran.