Bayaran fasa kedua BPN 2.0 pada 21 Januari
PUTRAJAYA - Bayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0) kepada 11.06 juta penerima akan dibuat bermula 21 Januari ini.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran akan terus dikreditkan ke akaun penerima B40 pada 21 Januari.
"Bagi penerima M40, bayaran juga akan dikreditkan ke akaun penerima pada 25 Januari," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, penerima tanpa akaun bank boleh menuntut wang pembayaran di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
"Pihak BSN akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa," katanya.
Tengku Zafrul berkata, bagi penerima di Sabah dan Sarawak tanpa akaun bank, pembayaran akan dibuat mulai awal Februari sehingga 1 April.
"Lokasi tuntutan wang bakal diumumkan pada akhir bulan Januari," katanya.
Katanya, jumlah penerima BPN 2.0 merangkumi 11.06 juta yang terdiri daripada 5.82 juta individu bujang dan 5.24 juta penerima isi rumah.
"Jumlah bayaran adalah sebanyak RM7.18 bilion setakat ini," katanya.