Pelajar mula berjinak jenayah ekstrem

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun
Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelajar sekolah kini tidak hanya terlibat dengan kegiatan ponteng sekolah, vandalisme dan buli tetapi turut berjinak-jinak dengan jenayah yang lebih ekstrem, kata Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Mohamad Fuzi berkata pembabitan pelajar dalam aktiviti jual beli dadah, salah laku seks, membunuh, menyertai kumpulan kongsi gelap dan militan antara jenayah pernah dicatatkan dalam jurnal juvana.

Katanya, berdasarkan statistik narkotik, 467 tangkapan melibatkan pelajar sekolah dibuat pada tahun 2017 dan angka tersebut meningkat kepada 577 tangkapan tahun lepas.

“Penglibatan pelajar dengan najis dadah semakin serius dan memerlukan perhatian semua pihak, tambahan pula kami tidak dapat menolak pandangan skeptikal masyarakat bahawa najis dadah adalah ‘ibu’ kepada segala punca perlakuan jenayah,” katanya dalam perutusan sempena Program Jom Ke Sekolah peringkat Kebangsaan Tahun 2019 hari ini.

Beliau juga berkata statistik indeks jenayah melibatkan pelajar sekolah mencatatkan penurunan iaitu 1,285 kes pada tahun 2018 berbanding 1,722 kes pada tahun sebelumnya.

“Meskipun menunjukkan pengurangan, usaha menanganinya masih perlu dipergiat memandangkan jumlah kes ini masih berada pada tahap yang menggusarkan.

“Elemen-elemen negatif yang disebarkan melalui kecanggihan teknologi serta kebebasan penggunaan media sosial dalam kalangan remaja menjadi antara penyumbang kepada keruntuhan dan kebejatan akhlak generasi muda masa kini,” kata Mohamad Fuzi.

Sementara itu, beliau berkata kerjasama rapat antara pihak sekolah dan polis melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dilaksanakan sebagai langkah awal membendung salah laku jenayah.

Artikel Berkaitan:

“PPS berperanan dalam membantu mewujudkan suasana sekolah yang selamat, sebagaimana yang digariskan dalam Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah.

“Kementerian Pendidikan juga mengambil inisiatif menyediakan Papan Kenyataan PPS di sekolah-sekolah bertujuan memberi maklumat mengenai aktiviti PPS serta maklumat semasa berkaitan undang-undang dan kejadian jenayah yang berlaku dalam kalangan remaja,” katanya. - Bernama