Pengusaha tekstil batik disaran miliki sijil standard

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengusaha tekstil batik disaran supaya mendapatkan sijil standard bagi memastikan hasil industri kraf itu memenuhi kualiti piawaian terbaik dalam usaha meningkatkan keyakinan pembeli terhadap produk batik yang ditawarkan dalam pasaran.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata setakat tahun lepas, 200 pengusaha batik dikenal pasti memperoleh sijil standard itu dan pihaknya menyasarkan pada tahun ini jumlah itu akan meningkat.

"Kami sudah mulakan pengenalan standard piawaian pengeluaran batik ini tahun lepas, namun masih ramai lagi pengusaha batik yang tidak tahu mengenainya yang menerusi inisiatif ini dapat memberi kemudahan dari segi pengeluaran hasil batik mereka dengan lebih efisien dan berkualiti.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja swasta akan digalak pakai batik: Mohamaddin

“Ia lebih kepada kesedaran kepada pengusaha untuk tampil ke hadapan, kerana kami mempunyai standard untuk pasarkan produk dengan lebih berjaya, jadi bila mereka capai standard ini baguslah. Kalau SIRIM ada standard, kami pula bersama Jabatan Standard Malaysia mempunyai piawaian untuk industri batik, tenun dan songket," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Batik Fest 2019 di sini, hari ini.

Menurutnya, para pengusaha batik hanya perlu memberikan sampel hasil batik mereka kepada pihak Kraftangan Malaysia, sebuah agensi di bawah kementeriannya, dan mereka akan dibantu daripada aspek teknikal bagi memudahkan proses seterusnya selepas menerima sijil standard itu.

"Kami akan bantu pengusaha, mereka tahu macam mana nak hasilkan batik tetapi kami mempunyai kualiti spesifikasi dan operasi yang betul jadi mereka mudah tahu spesifikasi batik mereka...contoh mereka nak hasilkan batik yang sama seperti mereka pernah hasilkan dahulu tapi mereka tiada spesifikasi itu...kalau ada rekod tentang suhu, skema warna, semua aspek teknologi itu, saya pasti mereka boleh hasilkan produk yang sama," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam usaha menggalakkan amalan pemakaian batik Malaysia di semua peringkat selain memupuk dan meningkatkan rasa suka terhadap seni warisan negara itu, acara Batik Fest akan dimasukkan dalam kalendar serta dijadikan acara tahunan kementerian itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: