Kadar pengangguran meningkat kepada 4.8 peratus pada November 2020

KUALA LUMPUR - Kadar pengangguran di Malaysia meningkat sedikit sebanyak 0.1 mata peratus kepada 4.8 peratus pada November 2020 berbanding bulan sebelumnya dengan bilangan penganggur seramai 764,400 orang, demikian menurut Jabatan Perangkaan pada Isnin.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah dilaksanakan secara berperingkat pada bulan itu dengan aktiviti ekonomi terus beroperasi mengikut prosedur operasi standard ketat telah menyaksikan penurunan kecil bilangan guna tenaga manakala kadar pengangguran meningkat sedikit berbanding bulan sebelumnya.
“Antara lainnya, keadaan ini berkemungkinan disebabkan oleh faktor kehilangan pekerjaan dan pembatalan atau pembekuan pengambilan pekerja baharu,” kata beliau dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Uzir berkata, bilangan penganggur pada November meningkat sebanyak 2.2 peratus atau 16,200 orang kepada 764,400 orang berbanding Oktober seramai 748,200 orang.