[DIKEMASKINI] Sugu dibebaskan dengan bon berkelakuan baik tiga tahun

M Sugu (tengah) dijatuhi hukuman bon berkelakuan baik tiga tahun dengan cagaran RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Isnin selepas mengaku bersalah memiliki senjata. Foto Bernama
M Sugu (tengah) dijatuhi hukuman bon berkelakuan baik tiga tahun dengan cagaran RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Isnin selepas mengaku bersalah memiliki senjata. Foto Bernama
A
A
A
IPOH - [DIKEMASKINI] Seorang bekas pekerja ladang, M Sugu, yang juga suami kepada penggiat YouTube masakan, S Pavithra Pavithra pada Isnin dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini dengan dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun kerana kesalahan memiliki senjata berbahaya, Julai lepas.

Hakim Norashima Khalidu turut mengenakan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap Sugu, 30, setelah dia mengaku bersalah serta mengarahkan Sugu membayar kos RM3,000 kepada pihak pendakwaan.

Sugu didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini antara jam 4 petang dan 6 petang pada 21 Julai 2020.

Ketika menjatuhkan hukuman itu, Norashima berkata, mahkamah mengambil kira rayuan pihak pembelaan dan permohonan agar pihak pendakwaan menilai semula kes berkenaan.

Peguam Syahrul Nizam Mohd Rabi, memohon mahkamah membenarkan perintah bon berkelakuan baik di bawah Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah atas alasan bahawa insiden berlaku kerana salah faham.

Syahrul Nizam berkata, anak guamnya tidak pernah terlibat dalam sebarang kes jenayah dan perlu menyara dua anak yang masih kecil.

“Anak guam kami juga salah seorang calon Ikon Anak Bandaraya Ipoh yang mana hasil usaha beliau lakukan sedikit sebanyak mengharumkan nama negeri Perak," katanya menambah anak guamnya itu telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi apa yang berlaku.

Timbalan Pendakwaraya Liyana Zawani Mohd Radzi tidak membantah.

Pada 17 September 2020, Mahkamah Sesyen Ipoh melepas tanpa membebaskan Sugu daripada tuduhan mencederakan Pavithra, 28, pada waktu kejadian selepas isterinya itu mengangkat sumpah bagi menarik balik pertuduhan dengan rela tanpa paksaan dan ugutan. - Bernama
Artikel Berkaitan: