25 kes keganasan dibuka akibat serangan di Capitol

Wajah-wajah disyaki melakukan serangan di Capitol, Rabu lalu.- Foto Reuters
Wajah-wajah disyaki melakukan serangan di Capitol, Rabu lalu.- Foto Reuters
A
A
A

WASHINGTON - Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Ryab McCarthy pada Ahad memaklumkan kepada Ahli Parlimen Demokrat, bahawa sekurang-kurangnya 25 kes keganasan domestik dibuka setelah serangan ganas penyokong Presiden Donald Trump di Capitol, Rabu lalu.

Reuters melaporkan bahawa Jabatan Kehakiman mengatakan dua lelaki ditahan selepas disyaki mempunyai kaitan dengan rusuhan itu.

Wakil Ahli Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Dewan Perwakilan, Jason Crow, berkata McCarthy memberitahu bahawa Pentagon maklum mengenai 'kemungkinan ancaman lebih lanjut ditimbulkan pengganas' pada hari mendatang, termasuk ketika pelantikan presiden baharu dari Demokrat, Joe Biden pada 20 Januari ini.

"Senapang, molotov koktail, alat peledak dan ikatan zip dijumpai, menunjukkan bencana lebih besar berjaya ditumpaskan," kata Crow yang merupakan bekas Renjer Tentera dalam meringkaskan inti pati panggilan dengan McCarthy.

McCarthy meyakinkan bahawa Pentagon bekerjasama dengan penguatkuasaan undang-undang tempatan dan Persekutuan untuk menyelaraskan persiapan keselamatan setelah kejadian itu disifatkan sebagai 'laporan ancaman penguatkuasaan undang-undang kurang baik' menjelang Rabu lalu.

Pada Ahad, Senator Republikan AS kedua menggesa Trump meletak jawatan dengan menegaskan presiden akan berdepan liabiliti jenayah selepas serangan oleh penyokongnya di Capitol, sejurus tindakan mencabar keputusan pilihan raya secara tidak berasas yang mendesak mereka untuk 'berjuang'.

Akibat serangan itu, lima terkorban termasuk seorang pegawai polis.

Crow membangkitkan kegusaran terhadap laporan mengenai pembabitan pasukan tentera simpanan dalam serangan itu dan mendesak McCarthy mempercepatkan siasatan dan pengadilan tentera, selain memastikan tiada pasukan dikerahkan pada 20 Januari ini yang bersimpati dengan militan tempatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, McCarthy bersetuju mengambil 'tindakan tambahan'.

Dalam pada itu, Jabatan Kehakiman dalam kenyataan memberitahu Larry Rendell Brock, dari Texas ditahan pada Ahad dan didakwa atas tuduhan melakukan keganasan serta merancang serangan di Capitol.

Kerajaan mendakwa Brock dikenali sebagai antara individu digambarkan memegang pengikat putih yang digunakan penguat kuasa untuk menahan subjek.

Eric Gavelek Munchel dari Tennessee, juga didakwa atas tuduhan sama apabila terdapat gambar menunjukkan seseorang yang kelihatan seperti Munchel yang membawa pengikat plastik.

Kedua-dua lelaki itu dilihat dalam gambar di kamar Senat namun tidak jelas sama ada mereka diwakili peguam.