Lima ditahan miliki senjata api buatan sendiri

Dua beradik antara ditahan miliki senjata api buatan sendiri.
Dua beradik antara ditahan miliki senjata api buatan sendiri.
A
A
A

BALING - Dua beradik antara lima lelaki yang ditahan dalam dua serbuan kerana memiliki senapang angin dan senjata api buatan sendiri di sekitar Kuala Ketil, dekat sini pada Rabu lepas dan Sabtu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, dalam serbuan pertama, dua beradik itu masing-masing berumur 34 dan 43 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Bukit Pak Kuning, Kuala Ketil pada 4.30 pagi, 6 Januari lepas berdasarkan maklumat awam.

“Dua lelaki ini sedang berada di dalam rumah tersebut dan hasil pemeriksaan lanjut polis menjumpai selaras senapang patah buatan sendiri bersama dua butir peluru dan satu laras senapang angin buatan sendiri bersama 22 biji ‘bearing’ warna silver.

“Polis turut menemui dua unit magnet, dua bentuk udi dipercayai untuk membuat senapang, satu unit pemotong dan satu unit alat pencuci senjata,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Ahad.

Katanya, hasil soal siasat kedua-dua suspek tersebut, polis kemudian berjaya menahan tiga lelaki warga Thailand berumur 36 hingga 46 tahun di kawasan ladang di Padang Ragut, Bukit Pak Kuning, Kuala Ketil pada 12 tengah hari, Sabtu.

Shamsudin berkata, selepas menahan ketiga-tiga suspek tersebut, polis menjumpai tiga laras senapang buatan sendiri di tiga rumah kongsi di ladang tersebut pada jam 3 hingga 5.20 petang.

Menurutnya, kelima-lima suspek yang saling mengenali antara satu sama lain itu disyaki menggunakan senapang berkenaan untuk memburu haiwan secara haram di hutan di sini.

Beliau berkata, dua beradik itu direman mulai Rabu hingga 15 Januari ini, manakala tiga warga Thailand itu direman 14 hari bermula Ahad.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971; Seksyen 36 Akta Senjata 1960; dan Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/1963. -Bernama