X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 09 Disember 2021

UMNO tanding 96 kerusi pada PRU15: Nazri Aziz

MOHAMMED NAZRI
A
A

SHAH ALAM - UMNO dijangka bertanding sekurang-kurangnya 96 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas parti itu dikatakan sudah selesai mengadakan rundingan kerusi bersama dengan Pas.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dilaporkan memaklumkan perkara tersebut dalam satu majlis perjumpaan bersama media di ibu negara pada Sabtu.

"Rundingan kita, pertama dengan Pas di bawah Muafakat Nasional (MN), kita dah selesai rundingan kerusi. Lepas itu kita berunding dengan Perikatan Nasional (PN).

"Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan turut memaklumkan UMNO akan bertanding sebanyak 96 kerusi pada PRU15," katanya seperti dilaporkan Astro Awani pada Ahad.

Menurut Ahli Parlimen Padang Rengas itu, UMNO tidak akan memberi ruang kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertanding di kerusi Parlimen yang dimenangi UMNO pada PRU14 lalu.

"Tidak ada ruang, rundingan kalau sekiranya UMNO bertanding kurang daripada kerusi itu. Kita mahukan dalam 95 hingga 96 kerusi Parlimen dan itu yang Tok Mat (Mohamad) kata, dia jawatankuasa MN.

"Tidak kurang daripada 96 kerusi Parlimen, tidak ada Bersatu," katanya.

Berhubung rundingan dengan PN atau lebih tepat Bersatu, Mohamed Nazri dilaporkan berkata, sukar untuk UMNO mengalah.

"Kalau rundingan dengan PN dia (Bersatu) hendak 16 kerusi, itu kerusi dia... itu susah sikit.

"Membujur lalu melintang patah, demi perpaduan Melayu kita kena korbankan kerusi kita (UMNO) dekat dia (Bersatu)? Apa benda ini? Kalau dia fikir betul-betul, dia kena korban, dia kena bagi balik kerusi Parlimen itu.

"Itu hak dan kerusi kita," kata Nazri.

Dalam pada itu, Sinar Harian pada Ahad turut mendapatkan Mohamad bagi mengesahkan perkara tersebut, bagaimanapun beliau gagal dihubungi.

Cubaan menghubungi beberapa pemimpin UMNO yang lain bagi mendapatkan maklum balas mengenai hal itu juga tidak berhasil.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad berhubung perkara sama pula enggan mengulas lanjut.

"Tanya Timbalan Presiden (Mohamad). Dia yang lakukan rundingan, saya tiada maklumat," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!