Lima mahkamah litar akan dinaik taraf

Takiyuddin (tengah) di hadapan Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu selepas mengadakan lawatan ke bangunan baharu mahkamah berkenaan pada Ahad.
Takiyuddin (tengah) di hadapan Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu selepas mengadakan lawatan ke bangunan baharu mahkamah berkenaan pada Ahad.
A
A
A

SETIU – Kerajaan akan menaik taraf lima mahkamah litar yang berada dalam keadaan kurang memuaskan bagi memberi keselesaan kepada orang ramai berurusan di sana.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, lima mahkamah berkenaan adalah di Johor dan masing-masing dua di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, keputusan sama ada mahkamah itu dipindahkan ke bangunan baharu atau menaik taraf kemudahan sedia ada bergantung kepada situasi semasa dengan kos setiap satu dianggarkan sebanyak RM400,000.

“Saya difahamkan ada lima mahkamah litar dalam keadaan kurang memuaskan jadi kerajaan akan ambil langkah segera.

“Minggu depan saya akan turun ke Johor melihat mahkamah di sana dan kita akan lihat sama ada menaik taraf untuk sementara waktu atau usahakan mahkamah baharu,” katanya selepas mengadakan lawatan ke bangunan baharu Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu di Sungai Tarom, Permaisuri di sini pada Ahad.

Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu memulakan operasi di lokasi baharu bermula Ahad selepas 33 tahun berada di sebuah bangunan rumah kedai dua tingkat yang terletak di bandar Permaisuri di sini.

Bangunan baharu itu pula dilengkapi dengan kemudahan orang kurang upaya (OKU), tandas lokap orang kena tuduh (OKT), bilik saksi, recording voice text (RVT), ruang menunggu awam, bilik mesyuarat, bilik solat dan kemudahan parkir yang mencukupi.

Premis mahkamah sebelum ini dirasmikan pada tahun 1988 mempunyai ruang pejabat terhad dan kurang kemudahan khas bagi OKU dan orang awam yang berurusan dengan Mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Takiyuddin berkata, mahkamah baharu itu merupakan bangunan sementara dan kerajaan akan membina sebuah bangunan mahkamah Setiu yang kekal di atas tanah seluas 1.2 hektar di Kampung Binjai Manis.

“Projek ini akan dilaksanakan pada tahun 2023 dengan anggaran kos sebanyak RM30 juta,” katanya.