Guan Eng ke Jepun tarik pelabur

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan menjelaskan jerayawara (road show) tiga hari Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ke Jepun bermula 6 Februari lepas bertujuan memasarkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan stabil dan berpotensi tinggi.

Kementerian menerusi satu kenyataan mengatakan, lawatan itu juga bertujuan meyakinkan komuniti pelaburan antarabangsa untuk mengambil bahagian di dalam Bon Samurai bernilai 200 bilion yen (RM7.4 bilion), yang dijamin oleh Japan Bank of International Corporation (JBIC).

“Jerayawara ini telah diaturkan oleh Daiwa Markets Limited (dengan kerjasama Affin Hwang Investment Berhad), HSBC Bank Malaysia Berhad dan Mizuho Bank (Malaysia) Berhad selaku pengatur utama bersama yang dilantik oleh Kementerian Kewangan bagi tujuan penerbitan bon tersebut,” menurut kenyataan itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bon Samurai bukti keyakinan terhadap Tun M]

Kenyataan tersebut turut berkongsi ucapan Guan Eng mengatakan pelabur antarabangsa yakin dengan potensi ekonomi Malaysia serta kebolehan kerajaan untuk memacu ekonomi negara ke hadapan.

“Malaysia terus dilihat sebagai destinasi pelaburan yang menarik oleh para pelabur, lebih-lebih lagi dengan komitmen kerajaan untuk mentadbir berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mereka yakin pelaburan mereka akan digunakan untuk tujuan membangunkan ekonomi Malaysia dengan sebaiknya,” kata Guan Eng.

Sementara itu, dalam lawatan tersebut, Ahli Parlimen Bagan itu sempat bertemu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Jepun, Taro Aso dan Penasihat kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Keselamatan Awam, Hiroto Izumi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pertemuan tersebut, Guan Eng menyampaikan penghargaan Malaysia atas kesudian Jepun melalui JBIC memberikan jaminan ke atas Bon Samurai Malaysia untuk mengurangkan kos pembiayaan ke atas pinjaman.

“Pihak kerajaan Jepun bukan sahaja telah memudahcara terbitan Bon Samurai ini dalam tempoh yang singkat, tetapi juga membuka peluang perniagaan dalam bidang lain.

“Perjumpaan ini juga telah membincangkan hala tuju perhubungan kedua-dua negara, dan ruang meningkatkan kerjasama dan pelaburan di dalam pelbagai bidang strategik.

“Perhubungan erat dan kerjasama di antara kedua-dua kerajaan sejak sekian lama diyakini dapat dipertingkatkan lagi melalui lawatan ini dan memberikan impak positif kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan,” ujarnya.

Guan Eng mengetuai jerayawara itu yang bermula 6 Februari melibatkan 20 peserta, termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir, Timbalan KSP, Datuk Siti Zauyah Md Desa dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Marzunisham Omar.