FBI tahan penyokong Trump ceroboh masuk Capitol

Barnett dengan selamba meletakkan kaki di atas meja Pelosi selain meninggalkan nota buat pemimpin wanita itu. - Foto: Agensi
Barnett dengan selamba meletakkan kaki di atas meja Pelosi selain meninggalkan nota buat pemimpin wanita itu. - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada Jumaat memberkas seorang penyokong Presiden Donald Trump yang selamba merakamkan gambarnya selepas menceroboh masuk ke dalam pejabat Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi ketika insiden serbuan terhadap Capitol di Washington pada Rabu lalu.

Jurucakap agensi itu, Connor Hagan berkata, Richard Barnett menyerah diri kepada ejen FBI di Pejabat Syerif Daerah Benton di Bentonville, Arkansas dan dia kini ditahan di sebuah pusat tahanan berhampiran Fayetteville selepas foto tersebut yang memaparkan dengan jelas wajahnya menjadi tular.

Barnett, 60, yang dikenali dengan nama samaran ‘Bigo’ dan menganggap dirinya sebagai penyokong hak pemilikan senjata api menghadapi tiga tuduhan persekutuan termasuk mencuri harta-benda awam dan jika disabit bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 bulan di penjara persekutuan.

Richard Barnett
Richard Barnett

"Gambar memaparkan gelagat lelaki itu dengan kakinya diletakkan di atas meja Pelosi adalah satu perbuatan yang tidak wajar," kata pemangku Peguam Negara, Jeffrey A Rosen.

Menurutnya, individu yang didapati melakukan perbuatan jenayah ketika insiden rusuhan ganas di Capitol akan diheret ke muka pengadilan.

Rosen turut memaklumkan FBI akan bekerjasama dengan Jabatan Polis Metropolitan Washington untuk menyiasat kematian anggota polis di Capitol, Brian Sicknick yang merupakan veteran tentera dari New Jersey.

Sicknick dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan pada kepala dialaminya akibat dipukul dengan alat pemadam api ketika berdepan kumpulan pro-Trump tersebut.

Artikel Berkaitan:

FBI turut meminta orang ramai supaya tampil memberikan maklumat dan mengenal pasti perusuh yang terlibat dalam insiden kekecohan itu. - Agensi