X

Kindly register in order to view this article
!

UMNO tolak kerjasama dengan Bersatu: Keabsahan pada PAU

Ahmad Zahid pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama Jawatankuasa Biro Politik Bahagian UMNO Kedah.
A
A

ALOR SETAR - Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menolak kerjasama bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan keabsahan keputusan itu akan dilakukan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), hujung bulan ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini, pendirian parti itu adalah tertakluk kepada keputusan MKT yang diputuskan dalam mesyuarat pada Rabu.

Menurutnya, perkara itu juga akan dijadikan agenda dalam usul ucapan dasar Presiden UMNO pada PAU nanti.

“Setakat ini, keputusan MKT adalah menolak kerjasama dengan Bersatu, namun keputusan terakhir atau keabsahan mengenai perkara itu dibuat pada 31 Januari ini,” katanya selepas mengadakan perjumpaan bersama Jawatankuasa Biro Politik Bahagian UMNO Kedah di sini pada Sabtu.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditanya berhubung usul akar umbi yang mahu parti memutuskan hubungan dengan Bersatu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahmad Zahid (dua, kiri) sempat beramah mesra dengan kepimpinan UMNO Kedah ketika tiba di Bangunan UMNO hari ini.
Ahmad Zahid (dua, kiri) sempat beramah mesra dengan kepimpinan UMNO Kedah ketika tiba di Bangunan UMNO hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usul berkenaan dibawa ke mesyuarat MKT pada Rabu dan pihaknya memutuskan untuk menerima usul tersebut dan akan melakukan keabsahan pada PAU.

Pada Rabu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dalam satu kenyataan selepas mesyuarat berkenaan mengumumkan, tiga usul utama dibangkitkan UMNO bahagian adalah mempertahankan Muafakat Nasional (MN), memutuskan hubungan dengan Bersatu sehingga PRU15 dan menggesa PRU dibuat sebelum berakhir suku pertama tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Usul putus hubungan dengan UMNO-Bersatu dibawa ke PAU

Dalam pada itu, Ahmad Zahid senada dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mahu pemimpin UMNO tidak menggunakan platform media untuk mengeluarkan kenyataan secara terbuka terutama menghentam antara satu sama lain.

Ia susulan kebelakangan ini, beberapa pimpinan tertinggi UMNO, menteri daripada UMNO serta bekas pimpinan tertinggi UMNO bertindak demikian dan ia tidak sesuai dilakukan ketika ini.

“Ia seharusnya menjadi pegangan semua kepimpinan UMNO. Tindakan sedemikian boleh jejas hubungan sesama ahli.

"Sebagai organisasi politik, tentunya pemikiran yang senada dan satu suara adalah perkara penting. UMNO harus berpegang pada prinsip itu,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan taklimat bersama Jawatankuasa Biro Politik Bahagian UMNO Kedah menggantikan konvensyen tahunan yang diadakan di setiap negeri sebelum PAU.

“Saya rancang untuk adakan taklimat ini di setiap negeri. Kedah adalah negeri pertama untuk saya bertemu kepimpinan peringkat bahagian dan menyampaikan amanat,” katanya.

Menurutnya, semua ahli parti diminta mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) di mana akar umbi perlu eratkan kerjasama UMNO-Pas.

“Saya mohon mereka beri jaminan, hubungan yang baik antara dua parti itu di semua peringkat agar dapat bergerak sebagai satu wadah menghadapi kemungkinan PRU15,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!