JKM cari waris bayi ditinggalkan di 'baby hatch'

Gambar dari kiri: Adam Eidress Haiqal, Muhammad Amir
Gambar dari kiri: Adam Eidress Haiqal, Muhammad Amir
A
A
A

PETALING - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Petaling sedang mencari waris seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di 'baby hatch' Orphane Care di Petaling Jaya, Selangor pada Oktober tahun lalu.

JKM menerusi satu kenyataannya berkata, bayi tersebut ditinggalkan kira-kira jam 7.12 petang dengan sekeping nota bertulis “Assalammualaikum / salam sejahtera, mohon jagakan Muhammad Amir dengan baik. Tarikh lahir: 31.10.2020 jam 4.30 petang di Subang Jaya. Dilahirkan di rumah. Dia belum diberi makan. Terima kasih”.

Pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling, Hasnizam Hassim berkata, bayi tersebut telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya pada hari yang sama untuk rawatan lanjut.

“Bayi tanpa sebarang dokumen itu kini ditempatkan sementara di bawah jagaan penjaga yang dilantik oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Petaling Jaya, Selangor selama tempoh satu bulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, JKM turut mencari waris kepada seorang lagi bayi lelaki, Adam Eidress Haiqal yang berusia kira-kira enam bulan untuk tampil.

Menurut JKM, bayi itu diserahkan kepada ibu peliharaannya, Nor Ashikin Ahmad pada Jun tahun lalu di sebuah rumah beralamat Jalan 17/1, Seksyen 17, Petaling Jaya, Selangor.

"Ibu kandung bayi dikenali sebagai Luvi menyerahkan Adam kepada Nor Asyikin kerana dia mengalami masalah kewangan serta tidak mampu untuk membesarkan kanak-kanak tersebut.

“Kini kanak-kanak itu ditempatkan sementara di bawah jagaan penjaga yang dilantik oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Petaling Jaya, Selangor selama tempoh satu bulan," katanya pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hasnizam memaklumkan bahawa pihaknya telah cuba untuk menghubungi ibu kandung kanak-kanak itu, namun sehingga kini gagal dihubungi dan tidak menampilkan diri.

“Sehubungan itu, orang awam yang mengenali ibu atau waris kanak-kanak terbabit diminta untuk menghubungi Unit Kanak-Kanak, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling di talian 03-7842 2584 atau 03-7842 2587 atau 019-2227471 bagi membincangkan hal penempatan kanak-kanak,” katanya.