Bayi lelaki ditinggalkan atas reban ayam

Pegawai polis menunjukkan lokasi bayi (Gambar kecil) itu ditemui di atas reban ayam di Kampung Jawa, Lahad Datu pada Isnin.
Pegawai polis menunjukkan lokasi bayi (Gambar kecil) itu ditemui di atas reban ayam di Kampung Jawa, Lahad Datu pada Isnin.
A
A
A

LAHAD DATU - Seorang bayi lelaki dipercayai baharu dilahirkan ditemui di atas reban ayam di kawasan Kampung Jawa dekat sini pada Isnin.

Bayi seberat tiga kilogram itu ditemui tanpa sebarang pakaian oleh seorang penduduk kampung kira-kira jam 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, lelaki berusia 51 tahun melaporkan bayi yang ditinggalkan itu ditemuinya ketika sedang melihat reban ayam miliknya.

"Sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lahad Datu telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

"Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada pada Isnin.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana penjaga yang bertanggungjawab terhadap bayi itu berniat membuangnya.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Pihak kita sedang mengesan suspek sebenar kes ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh berhubung terus di talian Hotline IPD Lahad Datu 089-881255 atau pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Sophia Thomas Kasau di talian 013-9392505, " katanya.