[DIKEMASKINI] Covid-19: PM buat pengumuman Isnin ini

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Satu pengumuman akan dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin ini bagi memaklumkan tindakan yang akan diambil kerajaan bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan peningkatan kes Covid-19 mencecah empat angka sejak kebelakangan ini.

Katanya, kerajaan sentiasa memantau situasi semasa dan membincangkan pendekatan serta langkah terbaik mengawal penularan itu.

"Kerajaan melalui sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang memperhalusi dan menilai tindakan yang perlu diambil segera untuk mengawal penularan jangkitan Covid-19.

"Ini termasuk mempertimbangkan SOP lebih ketat dilaksanakan terutama membabitkan sektor sosial bagi mengurangkan pergerakan sekali gus mengurangkan jangkitan Covid-19," katanya pada sidang media PKP Pemulihan(PKPP)/PKP Bersyarat (PKPB) pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa mendengar keluhan dan cadangan rakyat yang amat bimbang peningkatan kes kebelakangan ini.

"Kerajaan sentiasa mendengar rintihan dan pandangan rakyat dan kita sedang mempertimbangkannya.

"Insya-ALLAH apa-apa nanti akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada Isnin nanti. Jadi kita tunggulah apa yang nak diumumkan dan bersedia dengan pengumuman itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan juga sangat memahami beban tugas petugas kesihatan berikutan peningkatan kes mendadak apatah lagi beberapa negeri ketika ini sedang diuji dengan bencana banjir.

"Walaupun SOP menghadapi bencana banjir diperketatkan tetapi sudah pasti ramai bimbang banjir akan menjadi penyebab peningkatan kes Covid-19," katanya.

Justeru, beliau berharap semua rakyat mematuhi SOP ditetapkan dan mendoakan keselamatan bersama.