Duit dari poket sendiri, kata Abdul Hadi

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A
MARANG - "Jangan pelik di mana Pas dapat duit. Duit itu dari poket kita sendiri. Orang kita sendiri yang bekerja, yang bertungkus lumus, yang menderma," kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang itu berkata, sumber kewangan parti itu diperoleh dari lebih sejuta ahli di seluruh negara yang memberikan kepercayaan mereka kepada Pas.

"Sumber kita, ahli-ahli kita sendiri kerana di seluruh negara kita mempunyai lebih 190 lebih kawasan, sejuta lebih ahli ahli dan kita mampu buka beribu Pasti, beratus sekolah (di bawah Pas).

"Apa yang dibuat adalah semata-mata untuk memberikan kepercayaan rakyat kepada Pas. Alhamdulillah kita menang sudah pilihan raya, memerintah dua negeri, pertahankan Kelantan, menang di Terengganu," katanya yang ditemui di rumahnya di Rusila selepas berakhir kuliah di Masjid Rusila.

Beliau berkata, pada PRU114 lalu, Pas juga hampir merampas Kedah.

"Hampir nak menang di Kedah. Jadi parti paling besar di negeri Kedah, dan kerusi banyak di Pahang. Parlimen 18 kerusi... Dun 90 kerusi. Bermakna fitnah mereka gagal," katanya.

Abdul Hafi turut menyambut baik tindakan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan memulakan siasatan berhubung kes dana RM90 juta yang didakwa diterima parti itu.

SPRM dalam satu kenyataannya sebelum ini berkata, satu laporan telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ia telah dirujuk kepada agensi itu.

Ia susulan dakwaan wang sebanyak RM90 juta disyaki daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dikatakan dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin Pas.

Artikel Berkaitan:

Selasa lalu, Presiden Pas memutuskan untuk menarik balik tuntutan sama terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Tindakan itu diambil selepas Abdul Hadi memutuskan untuk menyelesaikan kes saman tersebut di luar mahkamah, dalam kes yang difailkan di London.

Pada 21 April 2017, Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Clare di Mahkamah Tinggi London berhubung laporan berita Sarawak Report yang dimuat naik pada 6 Ogos 2016.

Dalam laporan tersebut, Presiden Pas itu didakwa menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti bagi menyokong BN dan Umno.

Mengulas mengenai keputusan menarik balik tuntutan saman terhadap Editor Sarawak Report, Abdul Hadi berkata, kenyataan Pas sebelum ini sudah mencukupi untuk menjawab persoalan itu.

"Kenyataan Setiausaha Agung dan Setiausaha Politik kita, itu sudah cukup dan kita bersetuju untuk pembatalan termasuklah Claire pun bersetuju untuk membatalkannya.

"Hok (hak) kita batal dan dia pun setuju batal. Ada kenyataan untuk SPRM siasat dan kita terbuka untuk disiasat," ujarnya.

Beliau berkata, Pas akan memberikan kerjasama penuh Kepada SPRM sepanjang proses berlangsung.

"Kita harap siasat juga parti parti lain. Kena siasat DAP, siasat Amanah.

"Siasat parti-parti ini dari mana dapat duit belanja pilihan raya," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun isu berhubung kes dana RM90 juta itu sering di hubungkait dengan Pas sebelum ini, namun parti itu masih terus mendapat kepercayaan rakyat.

"Kita terus mendapat kejayaan yang lain. Itu sudah cukup. Dengan sebab itu (juga), kita berasakan tidak perlu ambil masa di mahkamah dan peguam pun nasihat agar kita tarik, kita nak buat kerja lain.

"Apa lagi undang-undang Britain dan di sini (Malaysia) lain. Kes ini dibawa atas nama peribadi, tidak boleh atas nama parti sedangkan tuduhan mereka pada parti.

"Nak bawa di England atas nama parti tidak boleh, bawa atas nama peribadi Presiden Pas. Itu sudah berlaku kelainannya. Apabila berlaku kelainan ini kita melihat kita dah menang moral dari segi pilihan raya," katanya.

Abdul Hadi turut menegaskan tuduhan tersebut tidak menjejaskan Pas.

"Tuduhan itu tidak menjejaskan parti, kita juga terus mendapat sokongan. PRK Cameron Highlands baru-baru ini terbukti lagi... sepatutnya tanya parti lain dari mana dapat duit.

"Jangan tuding jari pada kita sahaja... kita ada sumber kita, yang lain mana sumber, (cuba) beritahu, berapa banyak cawangannya.

"Kita ada cawangan, Amanah mana ada cawangan, DAP mana ada cawangan, dia bertanding begitu sahaja. Dari mana duit dia dapat.

"Itu kena siasat bukan saja kita kena siasat semua dan Pas buka pintu pada SPRM untuk siasat. Memang kita suka kalau disiasat agar parti kita bersih," katanya.

Beliau turut mengambil kenyataan menteri di Parlimen sebelum PRU14 lalu, yang secara tidak langsung turut membuktikan pemimpin daripada parti itu bersih dan bebas dari disiasat SPRM.

"Sudah cukup kenyataan menteri di Parlimen sebelum pilihan raya, ada soalan di Parlimen, berapa orang ahli Parlimen yang dia siasat daripada semua parti politik.

"BN ada dia siasat dengan jumlah dia... PH ada dengan jumlah dia... Pas tiada, jadi itu sudah cukup," katanya.