PGA Sarawak rampas 300 tan balak

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya melumpuhkan satu kegiatan pembalakan haram di Nanga Lupus di Kanowit, Sibu pada Khamis dengan penemuan kira-kira 300 tan kayu balak dan pelbagai jentera, keseluruhannya dianggarkan bernilai RM556,990.

Komander PGA Briged Sarawak, Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, dalam serbuan oleh sepasukan polis dari Unit Risikan Batalion ke-10 PGA Sibu di kawasan pembalakan itu pada kira-kira pukul 10.20 pagi, pihaknya telah menahan dua lelaki tempatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut pasukan itu telah menjumpai sejumlah 300 tan metrik kayu balak pelbagai saiz, tiga buah jengkaut, sebuah set jana kuasa dan sebuah mesin pam air, kesemuanya telah dirampas,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, kesemua tangkapan dan rampasan dibuat di bawah Ordinan Hutan Sarawak 2015 dan diserahkan kepada pihak Jabatan Hutan Sarawak Wilayah Sibu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, dalam kes berasingan semalam, sepasukan polis dari Batalion ke-11 PGA Batu Kawa telah mengesan seorang wanita warga Indonesia yang cuba memasuki Sarawak menggunakan jalan tikus berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia di Mongkos, Serian dekat sini pada kira-kira pukul 1.15 tengah hari.

“Ketua pasukan telah mengarahkan warganegara Indonesia itu berpatah balik ke Indonesia menggunakan laluan yang sama,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: