Detik-detik rusuhan di bangunan Capitol AS

Penyokong Trump merempuh masuk ke pintu bangunan Capitol. - AFP
Penyokong Trump merempuh masuk ke pintu bangunan Capitol. - AFP
A
A
A

WAKIL- WAKIL rakyat Amerika Syarikat (AS) terpaksa memakai topeng gas dan ratusan penyokong pro-Presiden AS, Donald Trump bertempur dengan anggota-anggota polis merupakan antara insiden yang berlaku dalam kejadian rusuhan di bangunan Capitol, Washington D.C pada Rabu lalu.

Suasana di pekarangan bangunan tersebut seolah-olah telah berlaku rampasan kuasa apabila terdapat wakil-wakil rakyat AS terpaksa menyembunyikan diri di dalam bangunan berkenaan demi keselamatan diri masing-masing.

Kejadian yang memalukan kuasa besar demokrasi dunia yang menyebabkan empat orang terbunuh dan ramai anggota polis dan perusuh cedera itu turut mengakibatkan banyak negara serta Kesatuan Eropah (EU) menyuarakan rasa terkejut termasuk Presiden Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Turki, Volkan Bozkir.

Malah, bekas-bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) antaranya, George W Bush daripada parti Republikan, Bill Clinton dan Barack Obama yang juga merupakan anggota parti Demokrat, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU) turut terkejut dan mengutuk insiden tersebut.

"Hari ini (Rabu), kita menghadapi satu serangan yang tidak pernah berlaku di Capitol, Perlembagaan kita dan negara kita," kata Clinton dalam satu kenyataan dengan menyalahkan Trump sebagai punca kejadian tersebut berlaku.

Ribuan penyokong Trump membanjiri pekarangan Capitol dalam usaha menggagalkan Kongres AS daripada mengesahkan kemenangan Biden. - AFP
Ribuan penyokong Trump membanjiri pekarangan Capitol dalam usaha menggagalkan Kongres AS daripada mengesahkan kemenangan Biden. - AFP

Ia juga berlaku dengan matlamat utama iaitu menghalang Kongres AS daripada mengesahkan kemenangan bekas Naib Presiden Amerika, Joe Biden daripada parti Demokrat yang berjaya menewaskan Presiden Donald Trump dalam pilihan raya Presiden negara itu pada 3 November tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Bangunan Capitol itu menempatkan Dewan Perwakilan dan Dewan Senat AS yang juga dikenali sebagai Kongres AS dan simbol kepada sistem demokrasi di negara berkenaan.

Para penyokong Trump itu memanjat dinding, merosakkan pagar dan menyerbu ke dalam bangunan tersebut sehingga menyebabkan bekas Setiausaha Negara AS, Leon Panetta menyatakan kekecewaannya terhadap pihak penguat kuasa undang-undang yang mengawal bangunan teresebut.

Menurut portal berita The Hill, tunjuk perasaan para penyokong Trump itu telah dirancang sejak beberapa minggu lalu dan mendakwa Presiden AS sendiri menggalakkan mereka untuk datang ke Washington D.C pada 6 Januari lalu.

Trump yang akan meninggalkan Rumah Putih pada 20 Januari ini dilaporkan berkata tarikh 6 Januari merupakan peluang terbaik untuk menukarkan kemenangan Biden dan beliau sebelum ini berulang kali memberitahu para penyokongnya bahawa keputusan pilihan raya Presiden itu adalah palsu.

Menurut AFP, ratusan penyokong Trump memakai topi tertera ayat Make America Great Again atau dalam bahasa Melayu bermaksud Jadikan Amerika Kembali Hebat sanggup menaiki bas yang disewa khas dari kawasan berhampiran Boston ke Washington untuk memprotes kemenangan Biden.

Sebelum ini, pasukan Trump kalah dalam beberapa tuntutan undang-undang di mahkamah bagi menafikan kemenangan Biden dalam pilihan raya Presiden AS.

Rusuhan itu bermula selepas jam 11 pagi apabila Trump memberikan ucapan di Taman Ellipse selatan Rumah Putih, Washington D.C di hadapan ribuan penyokongnya bahawa beliau tidak akan mengaku kalah kepada Biden.

Beliau juga mengulangi desakan kepada Naib Presidennya, Mike Pence supaya tidak mengumumkan kemenangan Biden di Kongres AS tetapi beliau enggan berbuat demikian kerana tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Selepas jam 1 petang waktu tempatan, ribuan penyokong Trump menolak penghadang di bangunan Capitol dan bergelut dengan anggota-anggota polis sehingga sebahagiannya menggelarkan mereka sebagai pengecut ketika melakukan tugas mengawal keselamatan.

Menurut CNN, kira-kira 90 minit kemudian para penyokong itu memasuki bangunan Capitol manakala pintu Dewan Perwakilan dan Dewan Senat telah dikunci.

Tidak lama kemudian, Pence telah dipindahkan oleh anggota-anggota polis dari bangunan tersebut demi keselamatan dirinya.

Peralatan media turut dirosakkan para penyokong Trump. - AFP
Peralatan media turut dirosakkan para penyokong Trump. - AFP

Para penyokong Trump dilaporkan melaungkan ayat 'USA, USA, USA' ketika mereka bergaduh dengan polis dan membaling paip dan lain-lain serpihan.

Beberapa jam selepas rusuhan itu, Trump mengeluarkan video pendek di Twitter meminta para penyokong beliau yang sebahagiannya berswafoto di dalam bangunan Capitol dan memakai pakaian ala tentera pulang ke rumah masing-masing.

Tetapi, beliau tidak menunjukkan rasa kesal tetapi mengulangi dakwaan bahawa pilihan raya Presiden telah dicuri daripadanya dan memuji para penyokongnya dengan berkata: "Saya sayang anda. Anda amat istimewa."

Anggota pihak berkuasa turut mengawal pintu depan Dewan Perwakilan dan kira-kira jam 3 petang waktu tempatan anggota polis menembak seorang penyokong wanita Trump yang cuba melanggar kawalan keselamatan.

Wanita itu meninggal dunia selepas ditembak di dada di dalam bangunan Capitol manakala Ketua Polis Washington D.C, Robert Contee berkata, tiga lagi orang mati selepas menerima rawatan perubatan kecemasan akibat rusuhan tersebut.

Bom asap digunakan di dalam Dewan Senat ketika anggota-anggota polis cuba menyuraikan para penyokong Trump dan tingkap-tingkap di bahagian barat dewan tersebut pecah manakala ratusan lagi anggota polis berkawal di tingakt pertama bangunan Capitol.

Para penyokong Presiden AS itu berjaya disuraikan di tingkat yang menempatkan dewan tersebut pada jam 3.30 petang waktu tempatan dan sekurang-kurangnya 52 orang telah ditangkap pada jam 9.30 malam pada Rabu ekoran rusuhan tersebut.

Pence kemudian cuba menenangkan para penyokong mereka selepas rusuhan tersebut berlaku manakala Biden meminta Presiden AS berucap di televisyen bagi meminta para perusuh tersebut menghentikan tindakan mereka.

Ramai anggota polis turut cedera dalam kejadian itu dengan seorang daripadanya dimasukkkan ke hospital, kata beberapa sumber kepada CNN.

Pentadbiran AS dibadai tragedi apabila empat orang mati akibat dalam rusuhan yang tidak pernah terjadi di Capitol sebelum ini. - AFP
Pentadbiran AS dibadai tragedi apabila empat orang mati akibat dalam rusuhan yang tidak pernah terjadi di Capitol sebelum ini. - AFP

Pihak polis mengambil masa sehingga jam 5.40 petang bagi memastikan bangunan itu berada dalam keadaan selamat.

Pada Khamis pula, Pence akhirnya mengumumkan kemenangan Biden dalam pilihan raya Presiden AS di Kongres AS. - Agensi