75 individu dikompaun main banjir

Shafien (dua dari kiri) bersama Mohamad Roy Suhaimi (kanan) ketika meninjau banjir di Rantau Panjang menggunakan dron pada Khamis.
Shafien (dua dari kiri) bersama Mohamad Roy Suhaimi (kanan) ketika meninjau banjir di Rantau Panjang menggunakan dron pada Khamis.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Seramai 75 individu dikompaun oleh polis Kelantan selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan dengan bermain air banjir ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafie Mamat berkata, kompaun tersebut dikeluarkan kepada mereka yang berkumpul dalam jumlah ramai pada satu-satu masa sekali gus gagal mematuhi SOP sepanjang tempoh beberapa hari negeri ini dilanda musibah banjir.

"Bukan itu sahaja, mereka tidak menjaga penjarakkan fizikal dan memakai pelitup muka," katanya kepada pemberita selepas meninjau situasi semasa banjir di Rantau Panjang pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif.

Menurutnya, kompaun akan terus dikeluarkan kepada individu yang gagal mematuhi SOP kerana peringkat amaran sudah tamat.

"Nasihat saya, kalau tidak mempunyai sebarang urusan jangan keluar rumah. Hindarkan tempat yang sesak dan patuhilah SOP yang telah dikeluarkan kerajaan.

"Kompaun RM1,000 yang dikenakan oleh kerajaan ketika ini cukup besar," katanya.

Katanya, terbaharu sebanyak tiga kompaun gagal patuh SOP telah dikenakan ke atas tiga individu yang berkumpul di Tambatan Di Raja, Kota Bharu untuk melihat air banjir pada malam Rabu.

Artikel Berkaitan: