X

Kindly register in order to view this article
!

Jakim benar kelas fardu ain secara maya diteruskan

Ahmad Marzuk (berdiri, dua dari kanan) bersama penerima pada program penyampaian sumbangan Jom ke Sekolah 2021 di Durian Tunggal, Alor Gajah pada Khamis.
A
A

ALOR GAJAH - Guru-guru takmir masjid lantikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih dibenarkan meneruskan pengajaran kelas-kelas agama secara maya di kawasan zon merah Covid-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, pembelajaran agama terutama fardu ain kepada orang ramai adalah penting walaupun berdepan pandemik Covid-19.

Menurutnya, beberapa masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah melaksanakan kelas pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian tanpa bersemuka, sekali gus langkah itu dapat mengurangkan jumlah orang ramai berkumpul di masjid atau surau.

Malah, beliau berkata, kaedah itu akan diperluaskan ke beberapa negeri lain yang diklasifikasikan sebagai zon merah Covid-19.

"Pengajaran dan pembelajaran kelas fardu ain oleh guru-guru takmir masjid masih boleh diteruskan menerusi dalam talian. Kita tidak tutup masjid, tapi aktiviti melibatkan ramai orang mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tertentu.

"Cuma di bawah guru takmir dibuat pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian," katanya selepas menyempurnakan program penyampaian sumbangan Jom ke Sekolah 2021 di Dewan Japerun Durian Tunggal di sini pada Khamis.

Pada program itu, seramai 170 pelajar sekolah daripada golongan keluarga B40 di negeri ini menerima bantuan persekolahan di bawah Yayasan Taqwa dengan jumlah keseluruhan peruntukan bernilai RM2.8 juta membabitkan 13,000 pelajar di seluruh negara.

Hadir sama, penasihat agama kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Kamarudin Sidek.

Ahmad Marzuk berkata, beliau yakin setiap negeri mempunyai SOP dalam program dan aktiviti melibatkan masjid bagi mengekang penularan Covid-19, sekali gus medan penyebaran ilmu agama masih dapat diteruskan.

Malah, katanya, elaun bagi golongan itu juga tidak dipotong, sebaliknya tetap diteruskan memandangkan ada antaranya hanya memperoleh sumber pendapatan daripada pekerjaan tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!