20 tetamu majlis kahwin di Mali maut serangan helikopter

Gambar fail menunjukkan kenderaan berperisai milik tentera Perancis melakukan operasi ketenteraan di wilayah Gourma, Mali. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan kenderaan berperisai milik tentera Perancis melakukan operasi ketenteraan di wilayah Gourma, Mali. - Foto AFP
A
A
A

BAMAKO - Perancis pada Selasa menyatakan telah melakukan serangan udara di tengah Mali sehingga menyebabkan puluhan anggota militan terbunuh.

Bagaimanapun beberapa penduduk memberitahu AFP, serangan daripada sebuah helikopter tidak dikenali itu mengorbankan sehingga 20 tetamu majlis perkahwinan yang diadakan di Bounti itu.

Seorang penduduk kampung di Bounti menyatakan, sebuah helikopter melepaskan tembakan pada waktu siang menyebabkan timbulnya panik dalam kalangan orang ramai pada majlis perkahwinan itu.

Ahmadou Ghana berkata, seramai 19 orang terbunuh termasuk dua daripada saudara kandung lelakinya dan sejumlah lagi cedera.

Seorang lagi penduduk, Mady Dicko berkata: "Helikopter itu terbang terlalu rendah."

Sebuah persatuan yang mempromosikan kebudayaan etnik Fulani iaitu Tabital Pulakuu melaporkan serangan udara itu pada majlis perkahwinan tersebut menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh.

Sementara itu, ibu pejabat tentera Perancis memberitahu AFP, beberapa jet pejuang telah menggempur puluhan anggota militan di tengah Mali selepas kumpulan mereka berjaya dikesan sejak beberapa hari lalu.

"Laporan berkaitan dengan satu majlis perkahwinan tidak sepadan dengan pemerhatian yang kita lakukan," kata seorang jurucakap tentera kepada AFP.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini tiada pengesahan daripada para pegawai Perancis dan Mali berhubung serangan helikopter itu.

Pengesahan laporan tentang dakwaan serangan yang berlaku di kawasan pendalaman Mali yang menjadi tempat anggota-anggota militan beroperasi sukar untuk disahkan.

Operasi udara di Mali selalunya dikendalikan oleh pihak tentera Mali atau tentera antimilitan Perancis dalam operasi Barkhane. - AFP