Jamal bakar kerang lagi, kali ini depan Ibu Pejabat Jabatan Perikanan pula

Jamal bersama dua nelayan tempatan bertindak membakar kerang di hadapan bangunan Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Malaysia pada Selasa.
Jamal bersama dua nelayan tempatan bertindak membakar kerang di hadapan bangunan Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Malaysia pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bersama dua nelayan tempatan bertindak membakar kerang di hadapan bangunan Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Malaysia bagi menyatakan bantahan berhubung kes kecurian benih kerang yang berlaku di Sekinchan.

Menurutnya, kecurian benih kerang itu berlaku sejak tiga minggu lalu di Pantai Redang dipercayai dilakukan oleh nelayan Thailand dengan menggunakan sampan jenis rotor atau dikenali sebagai enjin biawak.

"Tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang lebih kurang 100 bot rotor secara berkumpulan mengambil benih-benih kerang di tapak semula jadi secara haram telah merosakkan ekosistem," katanya kepada pemberita selepas menghantar memorandum kepada jabatan itu di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pihak nelayan telah membuat aduan kepada Jabatan Perikanan.

"Namun maklum balas oleh penguat kuasa Jabatan Perikanan bahawa mereka kekurangan peralatan, bot dan kapal," katanya.

Terdahulu Jamal menyerahkan memorandum tersebut kepada Pegawai Khas Ketua Pengarah Perikanan, Mohd Azhar Mohd Zin.

Ditanya mengenai tangkapan yang dibuat oleh Jabatan Perikanan, beliau menyifatkan ianya sebagai 'wayang'.

"Kalau dia cakap ada tangkapan, kenapa tiada pendakwaan dibuat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pada perkembangan lain, Jamal yang juga Bendahari UMNO Selangor berkata, kedudukan Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Barisan Nasional (BN) yang digantikan oleh Datuk Seri Ahmad Maslan adalah suara akar umbi.

"Perjumpaan hari ini (Selasa) menggambarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akur dengan kehendak akar umbi," katanya.

Katanya, akar umbi melihat kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Annuar adalah mengelirukan.

"Apa pun yang berlaku, UMNO akan buat keputusan esok (Rabu)," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jamal buat hal, bakar kerang depan Pejabat Perikanan