Mayat lelaki ditemui terapung di rumah pam

Anggota bomba sedang membawa mayat mangsa ke darat untuk dibawa ke hospital bagi proses bedah siasat.
Anggota bomba sedang membawa mayat mangsa ke darat untuk dibawa ke hospital bagi proses bedah siasat.
A
A
A

SEBERANG PERAI - Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan terapung di dalam sungai di Rumah Pam Taman Chai Leng di Sungai Derhaka, Perai di sini pada petang Isnin.

Mayat mangsa yang dikenalpasti sebagai K Saravanan, 29, itu ditemui orang awam sebelum menghubungi bomba pada jam 5.24 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mangsa berasal dari Taman Inderawasih, Perai dan bekerja sebagai operator.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, tiada pengenalan diri ditemui pada mayat mangsa yang dalam keadaan membengkak dan membusuk.

"Mayat ditemukan tidak berpakaian dan hanya berseluar dalam. Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat. Adik mangsa membuat pengecaman dan mengesahkan mangsa adalah abang kandungnya.

"Menurut adik mangsa, abangnya telah keluar pada jam 3 petang Sabtu lalu dengan menunggang motosikal dan sejak itu, mangsa tidak pulang ke rumah," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Tambahnya, hasil bedah siasat mendapati, tiada unsur jenayah ditemui pada tubuh mangsa dan doktor mengesahkan punca kematian adalah akibat lemas.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya dihubungi bagi membantu mengangkat mayat terbabit.

“Mayat didapati terapung dalam keadaan tertiarap dan wakil Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia manakala mayat kemudiannya diserah kepada polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi menyelamat melibatkan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai.