Rasuah RM50 bayar denda RM3,000

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Gara-gara cuba merasuah anggota polis sebanyak RM50, seorang kelindan lori didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini pada Selasa.

Tertuduh, M Vivegananta, 26, didakwa melakukan kesalahan kepada Sarjan Tomeromatamini Hossin di sekatan jalan raya (SJR) Kuala Sepetang arah Taiping-Kuala Sepetang, Taiping pada jam 10.15 pagi, 24 Jun 2020.

Mengikut pertuduhan, suapan itu diberikan sebagai dorongan kepada Tomeromatamini yang bertugas di Balai Polis Pokok Assam untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Vivegananta kerana tidak memiliki Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) sebagaimana Seksyen 56(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengakuan bersalah itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman denda RM3,000 kepada tertuduh dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Selain itu, Indra Nehru turut memerintahkan semua barang kes dikembalikan kepada pihak pendakwaan.

Terdahulu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali

Bagaimanapun Vivegananta yang diwakili peguam, Kathan Maruthamuthu membayar denda berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin.