DBKL ucap takziah kes kemalangan langgar lubang di Mid Valley

Laporan Sinar Harian berkaitan kemalangan yang berlaku pada Ahad.
Laporan Sinar Harian berkaitan kemalangan yang berlaku pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga seorang penunggang motosikal yang maut selepas melanggar lubang di Lebuh raya Timur Barat pada Ahad.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL berkata, lokasi kemalangan tersebut sentiasa dipantau dan diselenggara.

Menurutnya, pihak Pasukan Public Service Delivery Transformation (PSDT) DBKL telah melaksanakan kerja penyelenggaraan sebanyak sembilan kali sejak September lalu.

"Kali terakhir permukaan jalan tersebut diselenggara (diturap) adalah pada 26 Disember. Didapati bahawa kerosakan jalan tersebut terlalu kerap berulang. DBKL telah melantik pihak Ikram ( Institut Kerja Raya Malaysia) untuk mengkaji dan menyiasat punca kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Penunggang motosikal maut langgar lubang

Menurutnya, DBKL sentiasa memantau dan mengambil tindakan terhadap jalan berlubang dengan melakukan rondaan serta membuat tampalan segera di lokasi jalan yang mengalami kerosakan.

Katanya lagi, DBKL turut menyediakan pelbagai saluran aduan untuk orang awam memanjangkan aduan berkaitan patholes (jalan berlubang).

Artikel Berkaitan:

Kenyataan media DBKL berhubung insiden maut melibatkan jalan berlubang yang dilaporkan berlaku semalam.
Kenyataan media DBKL berhubung insiden maut melibatkan jalan berlubang yang dilaporkan berlaku semalam.

"Antaranya melalui laman web aduan ISPAAA, Hotline DBKL (Call Centre), Biro Pengaduan Awam, Aplikasi i-Tegur (KPKT), e-mel, Whatsapp, telefon, bersurat selain aduan bersemuka melalui pejabat cawangan DBKL.

"Kerjasama daripada orang awam amat diharapkan bagi menyalurkan maklumat mengenai kerosakan jalan termasuk jalan berlubang melalui saluran seperti yang dinyatakan," katanya.

Menurutnya, jumlah kerosakan jalan termasuk potholes yang direkod sepanjang tahun 2020 adalah sebanyak 11,979 kes yang mana kesemuanya telah diambil tindakan pembaikan oleh DBKL.

"Sebanyak 7,735 kes dikesan melalui rondaan proaktif DBKL sendiri manakala 4,244 kes adalah melalui aduan daripada awam," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang warga emas berusia 75 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas setelah melanggar lubang di jalan menghala Mid Valley awal Ahad.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, siasatan awal mendapati mangsa yang dalam perjalanan dari arah Jalan Connaught menghala ke Midvalley terbabas sendiri selepas melanggar lubang di jalan berkenaan sebelum terjatuh di atas jalan.