'Kepimpinan DAP lebih baik daripada UMNO'

LIEW CHIN TONG - Foto fail Bernama
LIEW CHIN TONG - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kepimpinan parti DAP dilihat lebih baik berbanding UMNO dari segi sistem dan struktur pentadbiran parti tersebut.

Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong berkata, banyak parti-parti politik di Malaysia akan memilih sistem Parlimen seperti DAP kerana sistem berkenaan membolehkan wujudnya satu sistem kerja yang sepakat dalam kalangan pemimpin.

Menurutnya, DAP tidak mempunyai presiden seperti UMNO sebaliknya mempunyai Setiausaha Agung yang berperanan setaraf CEO sesebuah organisasi.

“Setiausaha Agung tidak mempunyai kuasa mutlak. Beliau mempunyai kuasa eksekutif untuk tujuan operasi, namun perlu mengikut keputusan bersama Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) dalam soal-soal dasar.

“Ketiadaan presiden yang berkuasa mutlak adalah suatu rahmat buat DAP. Lihat sahaja kepada UMNO di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak dan anda akan faham apa maksud saya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Selain itu, beliau berkata, DAP tidak mengikuti langkah UMNO pada tahun 1960 dalam membendung kepimpinan negeri.

Menurutnya, kepimpinan negeri DAP dilantik dan selalunya ditandingi secara demokratik.

“Sepanjang sejarah DAP, parti itu tidak mempunyai bilangan cawangan yang banyak di setiap kawasan Parlimen.

Artikel Berkaitan:

“Peringkat kawasan yang kuat adalah suatu kemewahan buat parti, ketika ia merupakan sebuah parti pembangkang kekal.

“Struktur parti DAP di peringkat Parlimen dipanggil ‘Jawatankuasa Perhubungan’ yang dahulu dilantik tetapi kemudiannya dipimpin oleh wakil rakyat sedia ada di kawasan terbabit setelah perlembagaan parti dipinda.

“Peranan di peringkat kawasan ini hanyalah untuk tujuan koordinasi,' katanya.

Tambah Chin Tong, UMNO akan sedar dan memulihkan pemilihan parti di peringkat negeri dan mengurangkan kuasa ketua-ketua bahagian.

“Jika tidak, ia tidak akan dapat bersaing mendapatkan bakat-bakat baharu di saat peremajaan dan pembahagian demi memenangi PRU adalah hampir mustahil buat UMNO," ujarnya.

Beliau mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk mengkaji DAP dengan lebih mendalam memandangkan ia kini merupakan sebuah kuasa penting dalam politik negara.

“Bukanlah semua dalam DAP itu sempurna, tetapi untuk menghakimi parti dengan adil, seseorang itu perlulah memahami bagaimana ia berfungsi dan kenapa ia distruktur sedemikian rupa,” katanya.