'Kerajaan tak boleh terima kritikan'

Kamarudin Sidek
Kamarudin Sidek
A
A
A

JASIN - Tindakan beberapa pemimpin parti Amanah yang membuat laporan polis berhubung ceramah Pas yang didakwa memfitnah, menunjukkan kerajaan negeri tidak boleh menerima sebarang kritikan.

Persuruhjaya Pas negeri, Kamarudin Sidek berkata, beliau menafikan segala ucapannya ketika itu berbentuk fitnah dan seharusnya pihak berkenaan mendengar lebih terperinci rakaman ceramah berkenaan kerana ia merupakan kebimbangan yang disuarakan beliau berhubung beberapa isu yang berbangkit di Melaka selepas kerajaan negeri PH mengambil alih pentadbiran.

Menurutnya, ini termasuk isu penstrukturan masjid dan ahli jawatankuasa masjid di negeri ini yang dipercayai masih bercelaru berdasarkan makluman masyarakat setempat yang didakwa berlaku campur tangan politik.

Katanya, dalam ucapan berkenaan beliau menyatakan kemungkinan dana tabung masjid akan diurus tadbir oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berdasarkan aduan dan maklumat yang diterima oleh beberapa ahli jawatankuasa masjid.

"Itu bukanlah satu tuduhan, saya menyatakan kemungkinan dan saya telah lama dalam politik malah sudah tahu batasan dalam ucapan.

"Setakat ini juga pihak polis belum memanggil saya untuk siasatan dan saya yakin polis juga menyimpan audio ceramah saya pada malam kejadian," katanya.

Tambah Kamarudin, sepatutnya memadai pihak berkenaan membuat penafian sahaja mengenai dakwaan dua isu tersebut.

Sebelum ini dilaporkan parti Amanah kawasan Jasin membuat laporan polis berhubung kenyataan fitnah yang dilakukan pemimpin sebuah parti pembangkang dalam sebuah ceramah di Durian Tunggal, Alor Gajah, Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan: