Saya kerja ikut arahan, kata Annuar

Annuar (dua dari kiri) hadir pada perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan Padang Kala, Melor di sini hari ini. Foto Bernama
Annuar (dua dari kiri) hadir pada perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan Padang Kala, Melor di sini hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menepis dakwaan mengatakan beliau sering kali membuat keputusan yang dilihat mendahului kepimpinan tertinggi parti.

Menurutnya, trek rekod beliau pada UMNO amat jelas dan disiplin yang diamalkan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada institusi kepresidenan itu tidak boleh dipertikaikan sama sekali.

“Sebab itu, saya menjelaskan bahawa setakat ini saya tidak melakukan apa-apa perkara melainkan tanpa pengetahuan atau atas arahan Presiden.

“Malah tugas saya juga mewujudkan hubungan kerja yang baik dengan rakan sejawat dalam Muafakat Nasional (MN) khususnya Pas termasuk juga rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN).

“Tidak terhad dan terbatas kepada kerjasama saya dengan Setiausaha Agung Pas dan Setiausaha Agung Bersatu. Saya ingin jelaskan, bukan tiga orang Setiausaha Agung dalam PN, tapi 12 orang.

“Kami saling bekerjasama dan adalah menjadi tugas sebagai setiausaha agung mesti mewujudkan suasana kerja yang kondusif untuk membolehkan kita melaksanakan apa yang parti amanahkan.

"Ini adalah disiplin dan ini adalah komitmen saya,” katanya kepada pemberita ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ketereh di Dewan Ghaffar Baba, Yayasan Kemiskinan Kelantan di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata, apa yang lakukan merupakan apa yang parti putuskan atau pucuk pimpinan arahkan.

Artikel Berkaitan:

Walaupun, katanya, beliau tahu ada perkara yang parti putuskan atau arahan yang diberikan kepadanya tidak dikongsikan kepada parti lain.

“Saya rasa saya berdiam cukup lama dan tiada satu pun apa yang saya cakap dan buat ini mendahului keputusan parti. Tapi kalau parti tidak menyampaikan maklumat secukupnya kepada mereka, itu bukan tugas saya.

“Saya dengar banyak tuduhan ini berlegar dan saya ambil peluang pada persidangan ini kerana saya berdiam cukup lama. Perkara itu telah merebak sampai ke bawah, sangat sensitif tapi saya memilih untuk berterus terang,” katanya.