Annuar Musa makin 'bersih' sejak bersama Pas

Norwahida
Norwahida
A
A
A

KOTA BHARU - Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dilihat semakin 'bersih' sejak menyertai Pas.

Ketua Wanita UMNO Kelantan, Norwahida Patuan berkata, walaupun pernah melabelkan Pas sebagai parti kotor dan penunggang agama namun dakwaan itu seolah-olah sudah suci sejak bersama jemaah berkenaan.

"Dulu Annuar kata Pas ni sebenarnya kotor dan penunggang agama tapi sekarang parti itu telah dibersihkan oleh beliau sendiri.

"Sebelum ini beliau antara yang lantang mengkritik Pas di Kelantan selama 30 tahun dengan pelbagai kenyataan seperti penunggang agama, Pas gagal dan sebagainya.

"Adakah Annuar membuat kenyataan separuh sedar atau mendapat 'hidayah baharu' dalam politik," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut beliau, kenyataan bekas Ahli Parlimen Ketereh yang menyifatkan UMNO gagal merampas Kelantan seolah-olah meludah ke langit.

Ujarnya, Annuar patut sedar beliau pernah melafazkan perkara yang sama sewaktu menjadi Pengerusi UMNO Kelantan dan Barisan Nasional (BN) negeri sebelum ini.

"UMNO berikrar untuk rampas Kelantan sewaktu beliau menjadi pengerusi dan kegagalan itu turut berpunca daripada beliau.

"Suka saya memberi teguran kepada Annuar, jika UMNO rosak secara total, mengapa anaknya Afiq Amani masih berada di dalam saf parti sebagai Ketua Pemuda UMNO Ketereh?" katanya.