X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

'No Anwar, No DAP' dalam kerjasama politik UMNO

Datuk Seri Mahdzir Khalid
A
A

KUALA NERANG - UMNO Bahagian Padang Terap selari dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diputuskan sebelum ini bahawa 'No Anwar, No DAP' dalam kerjasama politik.

Ketuanya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, umum mengetahui bahawa tiada kerjasama sebelum ini yang diadakan melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga parti DAP dengan parti Melayu terbesar itu.

Menurutnya, di peringkat UMNO Padang Terap juga tiada usaha kerjasama melibatkan kedua-dua pihak tersebut dan mereka mahu kekal dengan keputusan MKT parti tersebut.

"Sebagai Naib Presiden, saya boleh katakan tidak ada mana-mana perbincangan melibatkan kepimpinan tertinggi yang cuba membawa kita untuk mengadakan kerjasama bersama DAP dan Anwar.

"Langkah untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan Anwar ini telah diputuskan majlis tertinggi parti dan perkara itu perlu kita patuhi," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Khidmat Komuniti, Kampung Padang Kerasak dekat sini, pada Sabtu.

Mahdzir (kanan) sempat menyantuni ahli UMNO Padang Terap sebelum Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Khidmat Komuniti, Kampung Padang Kerasak dekat sini, pada Sabtu.
Mahdzir (kanan) sempat menyantuni ahli UMNO Padang Terap sebelum Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Khidmat Komuniti, Kampung Padang Kerasak dekat sini, pada Sabtu.

Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa sebelum ini bahawa wujud cubaan serta konspirasi pihak tertentu untuk mengubah pendirian BN yang konsisten menolak Anwar serta DAP.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Ghazali Ibrahim, Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Badrol Hisham Hashim serta Ketua Wanita UMNO Bahagian, Che Arpah Ariffin.

Sementara itu Mahdzir melihat keputusan UMNO Bahagian Pulai yang mahu mengusulkan agar parti tersebut menolak sebarang kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) disifatkan sebagai hak mereka.

Menurutnya, usul UMNO bahagian berkenaan yang diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed belum menjadi perkara dasar kerana tidak diputuskan di peringkat parti.

"UMNO adalah parti matang. Sentiasa meraikan perbezaan pandangan dalam membuat sebarang keputusan.

"Perkara dinyatakannya itu belum menjadi dasar parti kerana tiada keputusan dibuat biro politik UMNO mahu pun majlis tertinggi. Namun inilah perkara yang yang menarik dalam UMNO kerana kita sentiasa meraikan perbezaan pendapat.

"Tak salah memberi pendapat yang berbeza dan itu sememangnya menjadi hak mereka. Setakat ini perkara itu tidak diputuskan di peringkat parti," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!