Pas tidak pernah 'bisu' isu judi, arak

Ahmad Marzuk Shaary
Ahmad Marzuk Shaary
A
A
A

KOTA BHARU - Pas tetap bertegas dan tidak pernah membisu dalam isu pengharaman judi di negara ini walaupun sudah menjadi sebahagian penggubal dasar atau pemerintah negara.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary berkata, sejak menjadi pembangkang lagi isu berkaitan judi atau arak dibantah.

Ahmad Marzuk juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menepis dakwaan bahawa Pas menyepi dalam isu terbabit setelah menjadi kerajaan berkata, pendirian parti untuk memerangi judi dan arak tetap sama dan masih diteruskan sehingga kini.

“Apabila kita menjadi sebahagian daripada kerajaan, lebih mudah untuk menyatakan bantahan. Bantahan secara dalaman. Terus kepada kementerian yang berkaitan.

“Untuk Pakatan Harapan yang viralkan kata Pas senyap dan membisu itu, kita nak bagi tahu yang kita tidak membisu.

“Cuma kita sesuaikan bantahan itu sebagai sebuah kerajaan, buat secara dalaman...Jadi itu lebih efektif berbanding sewaktu kita sebagai pembangkang,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Terdahulu beliau merasmikan Khatan Is’Aadul Usrah yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Ahmad Fathan Mahmood.

Program yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 1 dan Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa itu membabitkan hampir 50 kanak-kanak golongan B40.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, berkait dakwaan kerajaan Perikatan Nasional telah meningkat kekerapan cabutan khas ramalan nombor empat digit daripada lapan kali pada 2020 kepada 22 kali pada 2021 pula Ahmad Marzuk berkata, perkara itu dibangkitkan dalam Dewan Negara dan belum mendapat kenyataan rasmi Kementerian Kewangan.

Mengulas isu sama, Ahmad Marzuk berkata, keseriusan Pas dalam isu judi juga dapat dilihat secara jelas menerusi Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) yang dikemukakan parti itu sebelum PRU14 lagi.

Katanya, WINS mensasarkan pada tahun 2025 Malaysia akan bebas daripada judi berdasarkan beberapa kerangka dasar yang dicadangkan.

Berdasarkan kenyataan Panel Penggubal WINS juga AJK Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki pada Jumaat, pihaknya berhasrat untuk mengemukakan cadangan penuh membersihkan kegiatan judi di negara ini kepada kerajaan setelah ditambah baik.

Ahmad Marzuk juga mengingatkan pihak tertentu supaya tidak mempolitikkan isu pengharaman judi dan juga undian khas berkenaan serta tidak dijadikan sebagai bahan sindiran kepada kerajaan.

“Pihak kerajaan kita serius dulu kini dan selamanya dalam soal judi ini. Terima kasih kepada pihak yang viral walaupun dulu mereka senyap waktu kita bersuara.

“Kalau mereka bersungguh dalam soal ini, kita cadangkan negeri Pulau Pinang yang di bawah kawalan Pakatan Harapan mengikut juga jejak langkah Kelantan dalam hal berkait arak dan judi,” katanya.