Najib dilepas tanpa dibebaskan terhadap tiga pertuduhan

Datuk Seri Najib Tun Razak
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini terhadap tiga tuduhan tambahan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan yang diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas untuk melepas tanpa membebaskan Najib.

"Pendakwa Raya mempunyai kuasa untuk tidak meneruskan atau menolak untuk mendakwa pada mana-mana peringkat perbicaraan. Berdasarkan permohonan Pendakwa Raya, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan tambahan,” kata hakim.

ARTIKEL BERKAITAN: https://www.sinarharian.com.my/article/9241/BERITA/Mahkamah/Mahkamah-tetap-dua-hari-dengar-rayuan-Najib

Pada 28 Januari, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi terhadap tiga pertuduhan tambahan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM47 juta, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Thomas memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan berhasrat untuk tidak meneruskan tiga pertubuhan itu terhadap Najib di Mahkamah Tinggi dan memohon perintah dilepaskan tanpa dibebaskan.

"Saya akan mendakwa tertuduh dengan pertuduhan berkenaan di Mahkamah Sesyen nanti," katanya.

Kes pengubahan wang haram berkenaan pada asalnya kes di Mahkamah Sesyen dan pihak pendakwaan sepatutnya menyebut kes itu di Mahkamah Sesyen sebelum memindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, pada 28 Jan, pihak pendakwaan telah mendakwa Najib terus di Mahkamah Tinggi.

Thomas juga memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan mahu menarik balik sijil memindahkan kes berkaitan tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International yang dihadapi Najib daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, ini kerana keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Semenyih Jaya (2017) dan M. Indira Gandhi (2018), terdapat keraguan berhubung kuasa oleh Pendakwa Raya untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

“Saya dengan ini menarik balik sijil yang saya dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang hujahan bahawa pemindahan itu adalah pembatalan.

“Ini akan menjimatkan masa. Saya mengambil langkah-langkah ini untuk mengelak sebarang cabaran yang boleh dibuat pada mana-mana peringkat yang terikat kepada menangguhkan dan membatalkan perbicaraan serta mengakibatkan perbelanjaan awam yang tidak perlu,” katanya.

Beliau berkata, hakim boleh menggunakan budi bicaranya (suo motu) mengikut Seksyen 417 Kanun Acara Jenayah (KAJ) untuk memindahkan kes di mahkamah ini.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib memberitahu mahkamah bahawa beliau terkejut apabila pendakwaan memaklumkan mahkamah yang mereka tidak mahu meneruskan tiga pertuduhan tambahan terhadap anak guamnya.

"Ini bukan 'kedai nasi kandar' di mana anda boleh menambah nasi. Perbicaraan akan bermula Selasa depan. Apa yang pendakwaan akan lakukan? Tiga kes baharu ini tiada kaitan dengan kes lama (SRC International). Wang dan akaun bank berbeza," katanya.

Mohd Nazlan dalam keputusannya berkata, mahkamah berpendapat bahawa Pendakwa Raya juga mempunyai kuasa untuk mempengaruhi penarikan balik sijil mengikut Seksyen 418A KAJ dengan mengambil kira bahawa tiada penentuan kehakiman yang seksyen ini tidak mengikut perlembagaan berlandaskan kes Semenyih Jaya dan Indira Ghandi.

“Saya dengan ini menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 417(2) KAJ untuk memerintahkan pemindahan tujuh pertuduhan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 417(1)(e) KAJ,” katanya.

Hakim itu berkata tujuh pertuduhan berkenaan perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi kerana kes-kes berkenaan menarik minat ramai di dalam dan luar negara.

“Juga tiada prejudis terhadap tertuduh,” katanya.

Mohd Nazlan berkata tujuh pertuduhan berkenaan didaftarkan pada 4 Julai tahun lepas dan pihak pendakwaan telah mengumpulkan semua dokumen dan tarikh perbicaraan bagi ketujuh-tujuh pertuduhan itu juga telah ditetapkan hampir enam bulan lalu, bermula 12 Februari tahun ini.

Hakim turut menolak permohonan Muhammad Shafee untuk penangguhan perbicaraan yang dijadualkan pada 12 Feb atas alasan tiada asas khusus untuk menangguhkannya.

Muhammad Shafee bagaimanapun berkata beliau akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini dan mengatakan ia merupakan perkara yang serius yang perlu dibawa ke mahkamah tertinggi.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib didakwa dengan tujuh pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna jawatan dan menerima wang hasil aktiviti haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia