Wanita warga emas maut nahas

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas maut apabila kereta dinaikinya terlibat kemalangan di simpang tiga Jalan Danau dan Jalan Danau 4, Taman Desa Cemerlang, di sini pada Jumaat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superitendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan itu berlaku pada jam 7.30 pagi.

"Kemalangan ini melibatkan kereta jenis Honda Jazz dan Perodua Kancil. Kejadian berlaku semasa Honda Jazz yang dipandu seorang lelaki berumur 21 tahun sedang bergerak di jalan lurus.

"Apabila sampai di tempat kejadian, Perodua Kancil dipandu seorang lelaki, 72, bersama-sama isterinya, 71, keluar simpang dan menyebabkan berlaku perlanggaran," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, akibat pelanggaran itu, wanita berusia 71 tahun itu cedera parah di bahagian dada dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

Beliau berkata, suami mangsa mengalami kecederaan patah kaki kanan manakala pemandu Honda Jazz tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut beliau, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut agar tampil membantu siasatan polis atau menyalurkan maklumat.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai boleh berbuat demikian di mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor menerusi talian 07-2212999 atau melalui Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menerusi talian 07–3864222.