3 beranak sesat daki bukit diselamatkan

Tiga beranak yang sesat selama dua jam di puncak Bukit Beruang, berjaya diselamatkan anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh di sini, malam tadi.
A
A

MELAKA TENGAH - Tiga beranak yang sesat selama dua jam di puncak Bukit Beruang, berjaya diselamatkan anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh di sini, malam tadi.

Mangsa berusia 20-an hingga 53 tahun, dipercayai mendaki ke puncak bukit berkenaan untuk beriadah lebih kurang jam 5.30 petang sebelum dilaporkan sesat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hamdan Sudin berkata, pihaknya mengetahui insiden yang menimpa ketiga-tiga mangsa selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.33 malam.

Menurutnya, panggilan tersebut dibuat oleh salah seorang mangsa, sebelum sebuah jentera bomba dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 13 anggota termasuk komander operasi bergegas ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan panggilan telefon yang dibuat juga, lelaki berusia 53 tahun itu memaklumkan seorang daripada mangsa wanita mengalami kekejangan otot.

"Setiba di lokasi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan dan kami mengambil masa kira-kira 35 minit sebelum kesemua mereka ditemui pada jam 9.14 malam," katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, mangsa yang mengalami kekejangan otot diberi rawatan unit EMRS dan difahamkan kesemua mangsa pertama kali mendaki naik ke puncak bukit sebelum mereka gagal menemui laluan turun yang betul.

"Anggota bomba juga mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk membawa keluar mangsa ke 'check point 4' sebelum mereka berjaya dibawa turun menggunakan pacuan empat roda ke kaki bukit," katanya.