Helikopter terhempas dilihat terbang rendah sebelum kejadian: Saksi

Helikopter terhempas di kawasan tanah lapang milik persendirian dipercayai sedang membuat latihan penerbangan di Jalan PKFZ Pulau Indah, Pelabuhan Klang pada pagi Jumaat.
Helikopter terhempas di kawasan tanah lapang milik persendirian dipercayai sedang membuat latihan penerbangan di Jalan PKFZ Pulau Indah, Pelabuhan Klang pada pagi Jumaat.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Helikopter yang terhempas ketika cuba melakukan pendaratan di sebuah kawasan lapang berhampiran Zon Bebas Pelabuhan Klang, Pulau Indah pada Jumaat dilihat terbang pada paras agak rendah oleh beberapa penduduk kampung berkenaan.

Seorang penduduk Kampung Perigi Nenas yang terletak berhampiran kawasan kejadian, Abdul Hamid Ahmad, 44, berkata, pada kira-kira 9.40 pagi, beliau melihat helikopter berkenaan terbang di kawasan kuarters kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang setinggi lima tingkat.

“Ia terbang tinggi sedikit sahaja daripada kuarters itu. Keadaan pada masa itu agak berangin dan mendung, helikopter itu terbang agak rendah tetapi ia tidak nampak seperti akan terhempas,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, seorang lagi penduduk kampung berkenaan, Mohd Yusuf Jamaluddin, 60, berkata, ia merupakan pertama kali helikopter persendirian terbang di kawasan itu.

“Sebelum ini hanya helikopter Polis Diraja Malaysia sahaja kerap melakukan penerbangan di kawasan berkenaan bagi kerja-kerja pemantauan dan pengawasan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati kawasan berkenaan telah diawasi oleh anggota polis manakala terdapat beberapa anggota bomba sedang melakukan pemeriksaan susulan terhadap bangkai helikopter berkenaan.

Pada kira-kira 10 pagi Jumaat, sebuah helikopter ringan jenis Robinson R66 Turbine milik sebuah syarikat di Subang dilaporkan terhempas ketika cuba melakukan latihan ‘hovering’ di sebuah kawasan lapang berhampiran Zon Bebas Pelabuhan Klang.

Dalam kejadian itu, juruterbang berumur 73 tahun dan pembantu juruterbang berusia 53 tahun, cedera ringan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi rawatan susulan. - Bernama

Artikel Berkaitan: