JPJ kaji cadangan remaja hanya tunggang motosikal bawah 70cc

JPJ
JPJ
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan meneliti cadangan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia yang mahu syarat lesen memandu dipinda dengan memastikan pemilik berusia 16 hingga 20 tahun hanya dibenarkan menunggang motosikal kategori bawah 70cc menjelang 2025.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saranan itu dilakukan berikutan peningkatan kes kemalangan dan kadar kematian penunggang motosikal berkuasa besar melibatkan remaja berusia lingkungan 16 hingga 20 tahun,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan PDRM bercadang mengkategorikan permohonan lesen baharu mensyaratkan remaja berusia 16 hingga 20 tahun hanya menunggang motosikal berkuasa bawah 70cc menjelang 2025.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata JPJ akan melancarkan sistem MyQ yang mampu mengurangkan kesesakan kepada pelanggan ketika berurusan di kaunter dan projek rintis akan dilaksana pada pertengahan bulan ini di cawangan JPJ terpilih.

Ini katanya, antara usaha pendigitalan jabatan itu selari dengan amalan norma baharu dan prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). - Bernama

Artikel Berkaitan: