Econsave jual produk daging import yang diperakui halal

Mas Imran menunjukkan daging sejuk beku yang baru tiba dalam kontena di Pasaraya Econsave Simpang Renggam, Kluang pada Jumaat.
Mas Imran menunjukkan daging sejuk beku yang baru tiba dalam kontena di Pasaraya Econsave Simpang Renggam, Kluang pada Jumaat.
A
A
A

KLUANG - Pasaraya Econsave menafikan menjual produk daging import jenama Allana yang dikaitkan dengan pembongkaran kartel daging import haram dan memalsukan logo halal sebelum ini.

Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam menjelaskan, pihaknya hanya menjual produk jenama tersebut yang diimport langsung dengan pembekal dari negara India.

"Produk jenama tersebut telah dijual pihak kami lebih 10 tahun yang diperakui halal dan mendapat pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Produk daging sejuk beku kami termasuk jenama Allana dibawa terus dari pelabuhan ke pasar raya kami dan tidak diletakkan di gudang pihak ketiga.

"Saya berharap penjelasan kami ini dapat menyakinkan pengguna berkenaan status halal pada produk jualan Econsave," katanya pada sidang akhbar di Pasaraya Econsave Simpang Renggam dekat sini pada Jumaat.

Beliau turut menunjukkan kontena membawa barangan produk daging sejuk beku jenama Allana yang tiba di pasar raya berkenaan.

Mas Imran berkata, setiap produk makanan halal yang diimport pihaknya akan berpandukan kepada pengesahan Jakim.

"Macam di India dan Pakistan, terdapat 11 buah rumah sembelih yang mendapat sijil halal dan kami akan pilih rumah sembelih yang sah sebelum permit import dibenarkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sejak kegiatan kartel daging tersebut terbongar, pihaknya mengakui permintaan produk daging sejuk beku mengalami penurunan jualan hingga 30 peratus.

Sehubungan itu, pihaknya berusaha meningkatkan keyakinan pengguna di Pasaraya Econsave seperti meletakkan sijil halal dan hebahan.