X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Kartel daging: Polis terima 29 laporan

Abdul Hamid
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah laporan polis yang diterima berkaitan siasatan kes kartel daging sejuk beku kini meningkat kepada 29 laporan setakat Rabu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, mengikut pecahan terdapat lima laporan yang dibuat di Kuala Lumpur, Perak (5), Melaka (4), Johor (3), Kedah (3), Kelantan (2) dan Selangor (2).

Menurutnya, selebihnya, laporan terbabit dibuat di Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Pulau Pinang masing-masing dengan satu laporan.

“Daripada jumlah itu, tujuh laporan dibuat oleh orang awam, pertubuhan bukan kerajaan (8), politik (13) dan persatuan (1),” katanya kepada Sinar Harian di Bukit Aman pada Khamis.

Abdul Hamid berkata, isu ini memberi impak dan reaksi orang ramai hingga boleh mencetuskan huru-hara selain melibatkan sensitiviti agama.

Sementara itu, polis Johor tidak menolak kemungkinan masih terdapat pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam yang akan tampil membuat laporan polis berhubung isu kartel daging di negeri itu.

Ayob Khan
Ayob Khan

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, laporan polis itu dibuat sebagai menyuarakan kebimbangan dan ketidakselesaan pihak terlibat terhadap isu ini kerana melibatkan agama.

“Sepertimana yang dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menjalankan siasatan berhubung isu kartel daging ini.

“Pihak polis Bukit Aman akan buka kertas siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam).

“Tetapi ada satu laporan polis dibuat di Kulai oleh seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kulai berhubung isu ini.

“Oleh itu, polis Johor akan buka kertas siasatan di bawah Seksyen 298 A Kanun Keseksaan (melukakan hati umat Islam),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.Ayob Khan berkata, laporan yang dibuat di Johor adalah daripada KPDNHEP, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan ahli Bersatu Bahagian Kulai.

“Polis Johor masih meletakkan anggota untuk menjaga gudang sejuk beku di Senai bagi tujuan keselamatan terhadap penguat kuasa yang menjalankan siasatan di lokasi terbabit,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!