Zeti Akhtar nafi terlibat skandal 1MDB

Zeti Akhtar Aziz
Zeti Akhtar Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menafikan sebarang penglibatan dengan skandal syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jelasnya, segala tuduhan yang dilemparkan kepada diri dan keluarganya adalah palsu dan berniat jahat.

“Saya melihat laporan media yang tidak benar baru-baru ini terhadap saya dan keluarga saya serta kaitan palsu yang dibuat dengan 1MDB.

“Isu-isu yang berkaitan dengan 1MDB telah disiasat secara menyeluruh dan teliti oleh pihak berkuasa yang berkenaan, iaitu Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dan SPRM dan memberikan semua maklumat yang diperlukan berkaitan dengan siasatan rasmi mengenai 1MDB dan mantan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan polis dan SPRM yang dibuat berhubung penglibatan suami dan dua anaknya dengan sebuah syarikat yang ada kaitan dengan Jho Low iaitu individu utama dalam kes 1MDB.

Sehubungan itu, Zeti berkata, beliau tidak boleh memberikan sebarang kenyataan lanjut kerana berpotensi untuk menjadi saksi dalam perbicaraan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang berlangsung.

“Oleh itu, pandangan saya akan menyebabkan gangguan pada perbicaraan yang sedang berlangsung dan berpotensi menjadi subjudis bagi saya untuk membuat pernyataan pada masa ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya ingin ulangi bahawa keluarga saya dan saya tidak pernah terima sejumlah wang daripada 1MDB. Tuduhan terhadap saya dan keluarga sama sekali palsu dan berniat jahat,” tegas beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga laporan SPRM terhadap Zeti