Beg tangan dicuri ketika sedang solat Subuh

Seorang lelaki telah menceroboh ruang solat wanita sebelum melarikan beg tangan berisi wang tunai dan telefon bimbit
Seorang lelaki telah menceroboh ruang solat wanita sebelum melarikan beg tangan berisi wang tunai dan telefon bimbit
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pesara mengalami kerugian RM2,000 ketika sedang menunaikan solat Subuh di sebuah masjid di Setapak, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan Muhammad Najib Hamzah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi, mangsa seorang wanita berusia 65 tahun telah dikejutkan dengan jeritan rakannya yang melihat seorang lelaki mencuri beg tangan.

Menurutnya, suspek kemudian terus melarikan diri menaiki sebuah motosikal.

"Kejadian berlaku ketika jemaah sedang menunaikan solat subuh dan ketika sujud di rakaat kedua.

"Suspek disyaki warga tempatan berpakaian jaket bertutup kepala telah masuk melalui pintu tepi ruangan solat muslimat.

No Image Caption

"Suspek telah mengambil beg tangan milik mangsa yang diletakkan di hadapan tempat sujud dan terus melarikan diri," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM2,000 selepas telefon bimbit dan wang tunai dilarikan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kejadian tersebut telah dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan siasatan sedang dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Hafiz di talian 016-8741898 atau Asisten Superintendan M Hussin di talian 017-2446363 atau 03-92899222.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Justeru, polis menasihatkan agar orang awam agar tidak membawa barang berharga ketika menunaikan solat.