Kartel daging: Beri kepercayaan pihak berkuasa siasat

Normala Sudirman
Normala Sudirman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suara Pengguna Prihatin Malaysia (SPPM) menyeru rakyat Malaysia bertenang dan memberi kepercayaan penuh kepada pihak berwajib menjalankan siasatan dan mengheret semua yang terlibat isu kartel daging import haram ke muka pengadilan.

Presiden SPPM, Normala Sudirman mahu rakyat tidak terlalu cepat menghukum atau melontar spekulasi negatif terhadap pihak berkuasa kerana siasatan masih lagi berjalan.

"Tambahan pula perkara ini melibatkan banyak pihak, perkembangan kes ini sudah mula bergerak apabila dakwaan sudah mula dilakukan di mahkamah, ini akan mengambil masa, semua pihak perlu bersabar.

"Siasatan juga sedang dilakukan terhadap penjawat awam, pegawai kerajaan atau penguat kuasa agensi dalam kerajaan sekiranya didapati bersekongkol dengan kartel daging import haram ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian menerusi laporan khas membongkar kegiatan kartel mengimport daging dari beberapa negara yang tidak halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual dan dibekalkan di pasaran tempatan, menerusi serbuan pihak berkuasa di sebuah stor di Skudai.

Normala berkata, SPPM faham kebimbangan masyarakat apabila isu kartel daging import haram yang dipercayai beroperasi sejak 40 tahun lalu serta diragui operasi perniagaannya menjadi tumpuan dan persoalan utama masyarakat.

"Mutakhir ini masyarakat semakin bimbang untuk menikmati masakan berasaskan daging ekoran isu kartel daging haram yang meresahkan umat Islam di negara kita," katanya.

Namun katanya, peluang dan ruang perlu diberikan supaya siasatan menyeluruh dapat dilakukan dan pada masa sama mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, SPPM mendesak langkah penguatkuasaan diperketatkan lagi dan undang-undang perlu dilaksanakan secara telus bagi menjamin daging import yang dibekalkan lebih terjamin kebersihannya serta patuh syariah.

"Langkah menilai dan mengemas kini semula piawaian status halal bagi daging import bertepatan perlu dilakukan," ujarnya.

SPPM katanya, menyeru agar industri penternakan dipertingkatkan lagi dan usaha membekalkan makanan yang Halalan Thoyyiba iaitu halal, bersih dan berkat menjadi fokus utama khususnya umat Islam di Malaysia.

"Kita juga harus bekerja keras agar suatu hari nanti bekalan daging mencukupi bagi keperluan penduduk di negara kita," kata Normala.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Dua pengarah syarikat pembekal daging didakwa guna logo halal tanpa perakuan

Nama syarikat terlibat kartel daging haram didedah selepas pendakwaan

Kartel tukar daging haram jadi halal