Kartel daging calar imej Malaysia hub halal dunia

Isu kartel daging sejuk beku nampaknya terus menggoncang negara selepas pendedahan akhbar Sinar Harian sejak November lalu.
Isu kartel daging sejuk beku nampaknya terus menggoncang negara selepas pendedahan akhbar Sinar Harian sejak November lalu.
A
A
A

Isu kartel daging sejuk beku nampaknya terus menggoncang negara selepas pendedahan akhbar Sinar Harian sejak November lalu.

Satu demi satu pembongkaran akhbar ini kini telah berjaya merungkai betapa besarnya perniagaan kartel daging itu yang telah berleluasa dan berakar umbi di Malaysia.

Ternyata angkara perbuatan penguat kuasa korup yang bersekongkol dengan dalang kartel, ia telah mencalarkan nama Malaysia sebagai hub halal di mata dunia.

Walaupun pahit untuk ditelan, kita terpaksa menerima hakikat bahawa isu kartel daging sejuk beku ini membuktikan betapa lemahnya kawalan kita terhadap bekalan makanan halal di Malaysia.

Lantas, ia membawa kita kepada banyak persoalan lain mengenai bekalan makanan halal di negara ini. Adakah kita boleh mempercayai status halal makanan-makanan lain terutamanya yang diimport dari luar negara?

Dan sejauh mana kita boleh mempercayai juga penguat kuasa dan agensi yang selama ini mengawal pintu masuk negara dalam proses import eksport makanan?

Yang pasti, kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh berdiam dan berpeluk tubuh lagi. Walaupun ada beberapa agensi yang mungkin bersikap tuding jari untuk mengelakkan kesalahan diletakkan ke atas bahu mereka, hakikatnya ini bukanlah masanya berbuat demikian.

Ini adalah masa untuk semua pegawai kerajaan bangun dan berjuang habis-habisan.

Artikel Berkaitan:

Hal ini kerana, kartel daging merupakan masalah yang kini menghantui jutaan umat Islam Malaysia yang selama ini meletakkan kepercayaan kepada kerajaan dan agensi-agensinya.

Apatah lagi daripada tinjauan wartawan akhbar ini di seluruh negara, rata-rata kebanyakan peniaga kedai makan, memang menggunakan daging import atas faktor harga yang jauh lebih murah.

Maka, rakyat kini menanti dengan penuh harapan, pertamanya untuk melihat dalang kartel daging dikemukakan ke mahkamah dan keduanya, janji kerajaan untuk memastikan bekalan makanan halal di Malaysia tidak lagi diragui.