Isu kartel daging: JMM gesa polis siasat ahli politik

Hamdan (tengah) dan ahli JMM membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Selasa.
Hamdan (tengah) dan ahli JMM membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa polis menyiasat pembabitan ahli politik yang dipercayai turut bekerjasama dengan sindiket kartel daging sejuk beku import.

Presidennya, Hamdan Salleh berkata, ia termasuklah ahli politik yang didakwa cuba menghalang tertubuhnya syarikat Melayu bumiputera di bawah kerajaan seperti National Feedlot Corporation (NFC) bersama pihak kartel.

"Ini merupakan satu usaha dan pakatan yang sangat jahat bagi mengekang pasaran industri daging tempatan terus berkembang. Persekongkolan ini adalah satu tindakan bagi menjatuhkan NFC.

"Asas kepercayaan mengenai perkara ini, pihak JMM sedia bekerjasama dengan semua pihak berkuasa bagi pembongkaran isu ini," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi di sini pada Selasa.

Sementara itu, Hamdan turut menggesa kertas siasatan berhubung isu kartel daging import haram ini dibuka segera dengan tindakan tegas perlu diambil terhadap semua pihak yang bersubahat dengan mereka.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rafizi Ramli yang merupakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada ketika itu menggemparkan negara apabila mendedahkan skandal berkaitan NFC sehingga didakwa di mahkamah.

Beliau didakwa setelah melakukan pendedahan empat akaun bank berkaitan NFC dan pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada tahun 2019 membebaskan Rafizi terhadap hukuman penjara 30 bulan membabitkan kes mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu dibuat selepas Rafizi membuat rayuan terhadap sabitan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen pada 7 Februari 2019.