Sindiket kartel palsu jenama daging hanya libatkan satu syarikat

Rosol Wahid (kiri) ketika lawatan di stor syarikat pengimport daging sejuk beku di Selayang, Selangor pada Selasa.
Rosol Wahid (kiri) ketika lawatan di stor syarikat pengimport daging sejuk beku di Selayang, Selangor pada Selasa.
A
A
A

SELAYANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan bahawa sindiket pemalsuan jenama daging yang berstatus halal hanya melibatkan sebuah syarikat.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, daging sejuk beku yang diedarkan syarikat tersebut juga hanya mewakili satu peratus daripada keseluruhan bekalan daging negara.

Beliau berkata, KPDNHEP telah melakukan operasi merampas dan menyita produk syarikat tersebut dengan nilai rampasan kira-kira RM3.5 juta.

Menurutnya, kementeriannya juga telah mengarahkan pemeriksaan di 82 premis pemborong dan 521 peruncit seluruh negara.

“Kita masih siasat rangkaian syarikat tersebut dari segi di mana pengedaran daging berkenaan. Kita akan pergi dan periksa setiap tempat yang disyaki mengambil barangan daripada syarikat berkenaan.

“Kalau ada barangan daripada syarikat tersebut, kita akan rampas dan sita, tidak kira apa pun nama (jenama daging) barangan daripada syarikat itu.

“Operasi ini turut melibatkan syarikat kecil dan restoran yang telah menerima produk daripada syarikat yang akan didakwa. Sekiranya ada bukti, kita akan ambil (sita),” katanya ketika ditemui pemberita semasa membuat lawatan di sebuah stor syarikat pengimport daging sejuk beku di sini pada Selasa.

Rosol berkata, syarikat tersebut juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pendakwaan tersebut akan dilakukan di bawah Perenggan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Penandaan Halal 2011) kerana memperakukan perkhidmatan pengangkutan sebagai halal tanpa kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sementara itu, Rosol menafikan laporan sebuah akhbar tempatan bahawa sindiket daging haram itu telah beroperasi lebih 40 tahun tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Beliau menjelaskan, siasatan mendapati syarikat terbabit mula beroperasi pada tahun 2014 dan hanya memperoleh lesen sebagai pengimport produk sejuk beku pada tahun 2017.

“Saya meminta masyarakat tidak percaya dengan andaian yang yang menyatakan daging haram ini telah berlaku lebih daripada 40 tahun.

“Walhal apa yang kita dapati 40 tahun itu memang tak betul kerana syarikat yang kita siasat dan akan didakwa dalam masa terdekat itu baru berdaftar pada tahun 2014,” katanya.

Sehubungan itu, Rosol berkata, beliau berharap makluman terbaharu KPDNHEP itu dapat meredakan kebimbangan masyarakat yang merasa was-was untuk makan atau membeli daging yang dijual di dalam negara.

Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan pembongkaran sindiket kartel daging dalam rampasan sebanyak 1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta yang dibungkus semula dengan kotak berlogo halal palsu di Senai, Johor.

Sindiket berkenaan dikatakan memberi sogokan berupa wang tunai dan percutian ke luar negara sebagai hadiah kepada penguat kuasa dengan syarat barangan diimport yang melanggar peraturan itu boleh lepas masuk, seterusnya boleh diedarkan ke pasaran tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Jakim diam bersebab, isu seludup daging luar bidang kuasa'

Pemuda UMNO desak tubuh pasukan khas siasat isu kartel daging

Kartel daging: CAP gesa tubuh RCI