Kaukus Dewan Negara gesa bongkar dalang kartel daging haram

Razali
Razali
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menggesa kerajaan mengenal pasti dan membongkar dalang bertanggungjawab menguruskan proses import daging sejuk beku yang diragui status halal ke negara ini.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, pihaknya memandang serius isu itu kerana membabitkan soal maruah umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu mendedahkan jenama produk daging import dari negara sumber tidak sah termasuk diragui status halal dan kualitinya yang dijual di pasaran tempatan dalam tempoh terdekat.

“Kerajaan perlu segera membongkar isu ini, adakah wujud monopoli kilang pemprosesan daging halal di luar negara (negara import) dan mengenal pasti prosedur bahagian pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta kelulusan sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Dalam soal ini, saya bersama semua senator berpandangan isu kartel daging haram perlu disiasat dengan terperinci malah kita mengalu-alukan penubuhan pasukan khas terdiri dari Bukit Aman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyelesaikan isu ini,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya akan memanggil agensi berkaitan pembekalan dan pengimportan daging ke negara ini untuk mendapatkan penjelasan.

“Isu ini menjadi tanggungjawab besar bagi Dewan Negara yang telah membenarkan usul ini dibahaskan dan disegerakan atas kepentingan dan kesejahteraan awam, keselamatan, kesihatan dan ekonomi negara,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan digesa tubuh RCI siasat isu kartel daging

Kartel daging: CAP gesa tubuh RCI

Pemuda UMNO desak tubuh pasukan khas siasat isu kartel daging

Artikel Berkaitan: