Jangkaan usul UMNO tarik diri sokong PN

Dr Jeniri Amir
Dr Jeniri Amir
A
A
A

SHAH ALAM - Akar umbi UMNO tidak mustahil akan membawa usul meminta pucuk kepemimpinan parti itu untuk menarik semula sokongan mereka terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu antara dijangka berlaku dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 1 Januari ini.

Penganalisis politik, Dr Jeniri Amir bahkan berkata, desakan seperti itu bukan suatu yang mengejutkan apabila ia sudah wujud dan berlegar dalam kalangan ahli dan pemimpin parti sebelum ini.

Beliau yang juga bekas Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak berkata, desakan juga boleh diibaratkan sebagai satu cara bagi ‘menghalalkan’ keputusan BN menarik sokongan terhadap PN.

“Tidak mustahil (usul dibuat). Ini sebagai salah satu cara ‘menghalalkan’ BN (tarik sokongan) keluar daripada PN jika wujud desakan di peringkat sayap parti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas desas-desus bahwa akar umbi UMNO akan membawa usul meminta pucuk kepemimpinan parti itu menarik semula sokongan terhadap kerajaan PN dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bermula Jumaat ini.

Sementara itu, Jeniri berkata, akar umbi parti itu juga dijangka membangkitkan soal hubungan UMNO dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, kerjasama UMNO dan Pas menguntungkan kedua-dua parti itu berbanding kerjasama Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, ia berdasarkan prestasi Bersatu pada pilihan raya lalu.

Artikel Berkaitan:

“Pada pandangan saya, jika mereka (UMNO) dapat menjalinkan kerjasama dengan Pas (pada PRU15) kemungkinan UMNO boleh menang sehingga 30 kerusi marginal yang dimenangi pada tahun 2018.

“Pas juga lebih banyak untung jika parti itu dapat bekerjasama dengan UMNO berbanding dengan Bersatu kerana prestasi Bersatu sebelum ini hanya menang 13 kerusi sahaja,” katanya.

Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman turut meminta agar Pas segera membuat keputusan jelas sama ada mahu bersama MN atau PN pada PRU15 atau sebaliknya bagi memudahkan UMNO membuat perancangan.

Sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO bagi menghadapi PRU15, Tajuddin berkata, beliau ingin tahu kawasan mana terdapat kerjasama UMNO dan Pas dalam MN, atau kerjasama Pas hanya dengan Bersatu dalam PN.

Menurutnya, UMNO mempunyai struktur parti peringkat akar umbi yang lengkap daripada peringkat pusat mengundi daerah (PDM) sehingga cawangan dan bahagian, malah sudah bersedia untuk menggerakkan jentera parti.