Lakukan siasatan setaraf RCI berhubung isu penyeludupan daging

Kenyataan Isham Jalil di laman Facebook beliau pada Isnin.
Kenyataan Isham Jalil di laman Facebook beliau pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu siasatan serius setaraf siasatan suruhanjaya diraja (RCI) perlu dilakukan bagi membawa pesalah terlibat isu penyeludupan daging import tidak halal ke muka pengadilan.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, isu berkenaan amat serius terutama bagi masyarakat beragama Islam.

“Semasa saya tinggal di Boston, Amerika Syarikat 10 tahun lalu, saya berjalan kaki selama sejam untuk membeli daging halal di kedai yang jauh walaupun terdapat pasar raya yang menjual daging tidak halal di depan rumah.

“ Saya pasti kebanyakan umat Islam di Malaysia juga berpendirian begini berkenaan daging tidak halal. Mereka juga tidak mahu makan dan memberi makan anak isteri mereka dengan daging yang tidak halal yang akan menjadi darah daging mereka,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau pada Isnin.

Sinar Harian pada awal bulan ini mendedahkan mengenai kegiatan kartel menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula dengan label serta cap palsu dan menjualnya dalam pasaran negara ini.

Perkara itu dibongkar oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang mengenal pasti tiga jenama popular produk daging sejuk beku keluaran Australia yang diproses di sebuah kilang sejuk beku.

Sementara itu, Isham berkata, pihak terlibat perlu bertanggungjawab kerana membenarkan perkara ini berlaku lebih-lebih lagi jika mereka mendapat keuntungan atau mungkin wujud unsur rasuah.

"Mereka telah menyebabkan berjuta-juta umat Islam di Malaysia selama bertahun-tahun yang secara tidak sengaja makan daging yang tidak halal atau daging haram," katanya.

Artikel Berkaitan: