Kerajaan digesa tubuhkan RCI untuk tamatkan keresahan rakyat

Muhammad Zahid
Muhammad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu kartel daging yang menyebabkan keresahan dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Ahli Dewan Negara, Senator Muhammad Zahid Md Arip berkata, penubuhan RCI perlu melibatkan beberapa kementerian seperti Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi menyiasat perkara tersebut.

Beliau berkata, RCI perlu ditubuhkan untuk membaiki imej Malaysia sebagai pengimport dan pengeluar barangan halal yang sudah tercemar di seluruh dunia berikutan isu tersebut.

“Saya mencadangkan RCI ditubuhkan supaya lompang-lompang ini dapat disiasat dan laporan perlu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Selain menyediakan dokumen awam untuk tatapan rakyat, jalan penyelesaian perlu dicari untuk mengelakkan perkara ini berlaku pada masa hadapan supaya rakyat boleh hidup dalam keadaan sejahtera,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen pada Isnin.

Sinar Harian pada awal bulan ini mendedahkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula dengan label serta cap palsu dan menjualnya dalam pasaran negara ini.

Perkara itu dibongkarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang mengenal pasti tiga jenama popular produk daging sejuk beku keluaran Australia yang diproses di sebuah kilang sejuk beku.

ARTIKEL BERKAITAN: Kartel tukar daging haram jadi halal

Artikel Berkaitan:

Penguat kuasa korup guna kod rahsia 'daging karpet merah’

Daging import haram dijual secara online